Isnin, 24 April 2017

PROFIL SULTAN MUHAMMAD V


KUALA LUMPUR: Bersempena pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, Istana Negara telah mengeluarkan profil Seri Paduka Baginda seperti berikut :

1. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V telah diputerakan pada tanggal 6 Oktober 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan.

2. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail 1 Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur.

3. Baginda telah dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada ulang tahun keputeraan baginda yang ke-16 iaitu pada 6 Oktober 1985.

4. Minat baginda yang mendalam terhadap bidang ilmu dan pendidikan telah mendorong baginda untuk berangkat ke England bagi menyambung pelajaran di Oakham School Ruthland sehingga tahun 1989.

5. Seterusnya baginda melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Diplomatik di St. Cross College, Oxford dan dalam bidang Pengajian Islam di Oxford Centre sehingga 1991.

6. Pada tanggal 24 Mei 2009, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda telah dilantik menjadi Pemangku Raja Kelantan.

7. Pada 13 September 2010 baginda telah menaiki takhta Kerajaan Negeri Kelantan dan menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29.

8. Seterusnya pada 13 Disember 2011, baginda telah dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong Yang Ke-14 oleh Majlis Raja-Raja dan pada tahun 2016,

9. Majlis Raja-Raja telah melantik baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-15 berkuatkuasa pada 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun. Istiadat melafaz sumpah jawatan telah disempurnakan pada 13 Disember 2016.

10. Bidang pendidikan merupakan bidang yang amat diberi perhatian oleh Seri Paduka. Sebagai Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), baginda akan berangkat bercemar duli ke setiap istiadat konvokesyen yang dianjurkan universiti berkenaan.

11. Dalam bidang ketenteraan pula, sifat kepimpinan baginda senantiasa dikagumi. Seri Paduka Baginda telah dilantik menjadi Kolonel Yang Di-Pertua Rejimen Artileri DiRaja sehingga kini. Dengan pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.

12. Baginda turut melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan selain aktif berperanan dalam organisasi berkaitan keselamatan dan ketenteraan.

13. Baginda amat meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan ekuestrian selain meminati sukan memanah dan menembak dan gemar memelihara hidupan liar.

14. Selain daripada aktif dalam persatuan, baginda juga mempunyai minat memelihara haiwan seperti kuda dan rusa. Baginda amat mengambil berat terhadap pengawasan binatang peliharaan tersebut, justeru tanpa rasa jemu, baginda sendiri akan berangkat bagi memastikan tahap penjagaan yang sempurna dilaksanakan di taman haiwan berkenaan.

15. Seri Paduka Baginda telah berkenan menjadi Penaung kepada pelbagai persatuan dan kelab iaitu :- Persatuan Menembak Kelantan; Yayasan Sultan Kelantan (YSK); Majlis Orang-Orang Besar DiRaja Kelantan:Persatuan Perubatan Anti-Penuaan Aestetik Rejeneratif Malaysia (SAAARMM); Persatuan Bulan Sabit Merah; Persatuan Sukan Berkuda; Persatuan Motor 4 x 4; Persatuan Memanah

16. Sultan Muhammad V telah dianugerahkan dengan pelbagai Darjah Kebesaran iaitu: D.K. (1986), D.M.N. (2010), D.K. (Selangor - Januari 2011)., D.K. (Negeri Sembilan - April 2011)., D.K. (Johor - 2011)., D.K. (Perak - Julai 2011)., D.K. (Perlis - Oktober 2011)., D.K. (Kedah - Mac 2012)., D.K.(Terengganu - November 2014)., S.P.M.K., S.J.M.K., S.P.K.K., S.P.S.K., dan D.K.M (2017)

17. Seri Paduka Baginda sememangnya terkenal dengan sifat seorang Raja yang amat berhemah tinggi, mempunyai tutur kata yang lemah-lembut dan sopan santun. Baginda juga adalah seorang pemerintah yang dididik dari kecil dengan nilai-nilai pekerti serta tingkah laku yang berasaskan kepada ajaran agama dan ilmu keduniaan yang luas.

18. Baginda amat mengambil perhatian dalam hal-ehwal agama dan juga kepada rakyat jelata terutama yang menyentuh bidang kuasa baginda sendiri. Antara program yang diadakan hasil ilham baginda adalah Program Qiam With Me dan Walkathon Diraja yang telah bermula sejak tahun 2011 di Negeri Kelantan.

19. Baginda juga begitu prihatin akan kemakmuran dan keharmonian hidup rakyat jelata. Hal demikian terserlah dalam tindakan baginda menangani permasalahan hal-ehwal kemasyarakatan dan keagamaan.

20. Selain itu, baginda merupakan seorang raja berjiwa rakyat dan sangat dekat di hati rakyat. Tidak hairanlah jika baginda menjadi seorang pemerintah yang dikasihi dan disegani seluruh rakyat Malaysia.

SUMBER: Utusan Online

Rabu, 29 Mac 2017

PRESIDEN PERANCIS LAWAT MALAYSIA


Kuala Lumpur: KDYMM SPBYD Agong XV Sultan Muhammad V Berkenan Berangkat Ke Majlis Sambutan Negara Sempena Lawatan Rasmi His Excellency Francois Hollonde President Of The French Republic Di Dataran Parlimen Malaysia. Dan Diiringi Oleh YAB Perdana Menteri Malaysia,YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia Serta Pembesar2 Negara.                          
Foto-Jabatan Penerangan Malaysia.

Isnin, 27 Mac 2017

NOTIS PEMBERITAHUAN MPKB-BRI


NOTIS PEMBERITAHUAN:

 Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) telah memutuskan bahawa Jalan Mahmood, Kota Bharu, Kelantan dari Persimpangan Garong (berhampiran Maybank) sehingga Persimpangan Hospital Raja Perempuan Zainab II akan dijadikan JALAN SEHALA mulai 1 April 2017 sehingga 30 Jun 2017. Sekian. Harap maklum.

Jom Like FB SMNET News
#smnetnews

Khamis, 16 Mac 2017

JANDA MUDA DIKEHENDAKI TERBABIT KES PERBUATAN KHIANAT


KOTA BHARU: Polis mengesan seorang wanita disyaki terbabit dalam perbuatan khianat dengan membakar kereta dan rumah.

Dia dipercayai melakukan perbuatan itu secara berasingan dalam kejadian di Telipot dan Kubang Kerian, di sini, pada Ahad dan Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, wanita terbabit dikenali Nur Atirah, 27, berasal dari Tumpat dan dipercayai masih berada di negeri ini.

“Kami mengesannya untuk bantu siasatan kes. Saya minta dia tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Pengkalan Chepa, di sini.

“Sebelum ini, laporan kebakaran itu dibuat mangsa yang juga bekas suami yang berusia 30-an dan mentuanya.

“Kes pertama babitkan kebakaran kecil di rumah bekas suami di Telipot manakala kes kedua membabitkan kereta Toyota Wish yang diletakkan di hadapan rumah bekas mentuanya di Kubang Kerian,” katanya di sini, semalam.

Baharom berkata, orang ramai yang mengenali wanita berkenaan yang juga peniaga diminta menghubungi IPD di talian 09-7752200.

Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 435 Kanun
Keseksaan.

Kredit Foto: Kosmo

Rabu, 15 Mac 2017

PAKAI TOPENG DAN JAUHI LOKASI WABAK H5N1


KOTA BHARU: Pakai topeng dan jauhi lokasi wabak paling kurang 10 kilometer kawasan pantauan dari lokasi wabak bagi mengelak virus H5N1 mencari perumah baru.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr Kamarudin Md Isa berkata, sehingga pagi ini, sebanyak 15,957 unggas dilupuskan dalam usaha pelbagai jenis sudah dimusnahkan di Kota Bharu dan Pasir Mas.

“Mereka yang mahu keluar dan masuk ke kampung wabak bermula dari Kampung Pulau Tebu, Tunjong melibatkan enam kawasan dijangkiti di Kota Bharu dan tiga lagi di Pasir Mas perlu mengambil langkah waspada.

“Orang kampung tidak digalakkan keluar masuk ke kampung wabak influenza H5N1, jika kita masuk ke situ, perlu pakai topeng khas N95 elak risiko,” katanya kepada pemberita, di pejabat JPV negeri, di sini, hari ini.

Antaranya jenis unggas yang dilupuskan termasuk ayam kampung, itik, burung puyuh, ayam serama, angsa dan burung ketitir.

Dr Kamarudin berkata, wabak tersebut boleh membawa bahaya dan mengesyorkan seboleh-bolehnya orang ramai tidak perlu masuk ke kampung terlibat.

“Kakitangan JPV negeri menjalankan usaha pelupusan dengan membuat penyemburan pada waktu malam kerana masa tersebut lebih sesuai untuk melupuskan populasi.

“Kita mendapat kerjasama yang baik daripada penternak, bagaimanapun kita masih berbincang dengan pihak berkuasa untuk melakukan sekatan statik bagi mengelak ternakan di kawasan terjejas dibawa keluar,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, pihaknya turut menasihatkan supaya aktiviti berkaitan unggas termasuk pertandingan suara burung candik dan laga ayam dihentikan pada masa ini.

“Kita masih menyiasat punca penyakit dan aktiviti laga ayam ini dikhuatiri punca ayam dijangkiti H5N1, mungkin ada kaitan dengan aktiviti laga ayam di sempadan.

“Kes ini kita lihat hampir serupa dengan kes 2004 (juga pernah berlaku di Kelantan) dan usaha mengenal pasti punca agak sukar, namun ia sudah tentu bawaan dari luar Malaysia, malah kita masih menjalankan perincian lebih lanjut mengenainya,” katanya.