Isnin, 5 Disember 2011

Mat Yo kekal gelaran Pemain Paling Bernilai


Norshahrul Idlan mengekalkan gelaran Pemain Paling Bernilai/Anugerah Supermokh dalam majlis Anugerah 100 Plus-Astro Arena-FAM 2011 yang diadakan di hotel Holiday Inn, Glenmarie, Shah Alam hari ini.

Penyerang Kelantan yang menjaringkan 19 gol dalam kempen Liga Super musim lalu itu turut dijulang selaku Penyerang Terbaik mengetepikan rakan sepasukan, Khairul Fahmi Che Mat dan Safiq Rahim yang mewakili pasukan Selangor.

"Anugerah Supermokh ini merupakan pengiktirafan buat saya kerana Allahyarham Mokhtar Dahari merupakan seorang penyerang paling berharga. Anugerah ini akan membakar semangat untuk beraksi lebih konsisten dalam setiap perlawanan," ujar pemain kelahiran Setiu, Terengganu itu.

Sebelum itu, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) diumumkan sebagai persatuan negeri terbaik sementara Selangor PKNS FC yang muncul sebagai juara Liga Perdana musim ini dinamakan sebagai kelab terbaik.

Wan Zack Haikal Wan Noor mengubati kekecewaannya terlepas menyertai Sukan SEA akibat kecederaan dengan meraih anugerah Pemain Harapan Terbaik.

Anugerah Jurulatih Terbaik jatuh kepada Irfan Bakti yang menjulang Terengganu sebagai juara Piala FA, naib juara Liga Super dan Piala Malaysia.

Gelaran Pemain Tengah Terbaik menjadi milik Safiq Rahim sementara tonggak Negeri Sembilan, Norhafiz Zamani Misbah muncul Pertahanan Terbaik dan Khairul Fahmi memenangi anugerah Penjaga Gol terbaik buat tahun kedua berturut-turut.

Sport@KTV News

Tiada ulasan:

Catat Ulasan