Isnin, 5 Disember 2011

Norizman juara CP130 Cub Prix 2011


Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 berakhir dengan menyaksikan Norizman Ismail dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori CP130 dengan kejayaan menjejakkan kaki di atas podium dalam perlumbaan sengit berlangsung di Penang Esplanade, Pulau Pinang, hari ini.

Walaupun bermula di petak ketujuh, pelumba Harian Metro TEQ SCK Honda Racing itu berjaya menempatkan dirinya di atas podium apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga dengan masa keseluruhan 12 minit 02.099 saat manakala Hafizh Syahrin Abdullah (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) berjaya mempertahankan kemenangannya buat kali ketiga berturut-turut di litar Padang Kota Lama sejak tahun 2009 dengan masa 11:40.831s diikuti Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) di kedudukan kedua dengan 11:55.945s.

Jumlah 16 mata yang dipungut pada perlumbaan terakhir musim ini membolehkan Norizman mengekalkan kedudukan di tangga teratas dengan mengumpul 129 mata menewaskan rakan sepasukan, Mohd Affendi Rosli di tangga kedua dengan 111 mata manakala Muhaimin ketiga dengan 108 mata.

Gembira dengan kejayaan kedua dalam kategori perdana selepas bergelar juara pada tahun 2005, Norizman berkata, “Tidak ada apa yang boleh menggambarkan betapa gembiranya saya hari ini. Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan, penaja, mekanik dan juga keluarga serta peminat yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya,” kata pelumba berasal dari Sungai Buloh itu.

Bercakap tentang perlumbaan, “Pada peringkat awal segalanya tidak begitu lancar. Saya gagal mencatatkan masa terbaik pada ketika Superpole dan terpaksa bermula di petak ketujuh. Selepas itu saya hanya meletakkan sasaran untuk mengutip seberapa banyak mata yang termampu dan berada di hadapan Affendi. Namun selepas Mohd Zamri Baba (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) dan Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Racing Malaysia) sedikit terbabas pada selekoh terakhir, saya mengambil peluang tersebut untuk memintas dan seterusnya berjaya menjejaki podium.”

Menceritakan tentang perasaannya selepas memenangi gelaran kedua selepas tewas kepada Hafizh musim lepas, Norizman menambah, “Saya begitu berpuas hati kerana berjaya memenangi perlumbaan kategori CP130/Expert buat kali kedua tambahan pula ini hanya merupakan musim kedua saya bersama Honda. Ini membuktikan bagaimana kami berjaya menunjukkan peningkatan begitu ketara sepanjang dua tahun ini. Saya pasti semua orang di dalam pasukan ini mempunyai perasaan sama kerana kami berjaya menggondol kedua-dua gelaran individu dan berpasukan pada musim ini.”

Sport@KTV News

Tiada ulasan:

Catat Ulasan