Selasa, 13 Disember 2011

TRW Miliki Pemain Mantap Setiap Posisi


TIDAK wujud istilah kesebelasan pasukan pertama atau pasukan kedua sebaliknya semua pemain yang menyarung jersi skuad The Red Warriors mempunyai keupayaan yang hampir seimbang secara keseluruhannya.
Itulah gambaran awal Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa yang nyata cukup gembira dengan perkembangan pasukannya apabila berjaya membentuk satu kombinasi pemain yang mantap dan tidak menjejaskan prestasi pasukan meskipun terpaksa menggunakan pemain simpanan.
“Itu yang saya mahukan daripada pemain saya. Kita ada 30 pemain dalam skuad ini dan terbukti mereka mempunyai keupayaan yang cukup seimbang. Sesiapa sahaja pemain boleh bertukar ganti dan ini tidak menjejaskan prestasi pasukan.
“Jika ada pertukaran pemain ketika perlawanan, kita mahu pemain yang digantikan itu dapat mengekalkan rentak permainan malah mampu memberikan persembahan yang lebih baik tanpa menjejaskan mutu permainan.
“Bagi Kelantan, apabila berpeluang beraksi pada Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) seumpama kita mewakili Negara. Jadi kita kena berusaha untuk memastikan Kelantan berada dalam kelas yang tersendiri,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan dengan pasukan T-Team di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam semalam.
Mengulas mengenai persembahan pemain import iaitu Mohammed Ghaddar Mahmoud dan Denny Antwi yang digandingkan buat pertama kali dengan penyerang tempatan, Norshahrul Idlan Talaha, Annuar menjelaskan mereka masih memerlukan masa untuk membentuk satu rangkaian penyerang yang lebih berbisa pada saingan liga musim depan.
“Sebenarnya ini pertama kali mereka bertiga digandingkan. Saya lihat mereka ada persefahaman baik tetapi saya fikir masih ada ruang untuk diperbaiki.
“Masing-masing mempunyai gaya permainan berbeza. Namun persamaannya mereka mempunyai penguasaan bola dan kemahiran individu menarik,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan