Azzuddin Ahmad
Azzuddin Ahmad

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad bakal meninggalkan tugasnya di Wisma FAM untuk menggalas jawatan baru sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Asia (AFF) berkuat kuasa 1 Jun nanti.

Perkara ini disahkan sendiri Azzuddin pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan perlawanan amal Malaysia-Palestin di Hotel Royal, Chulan, semalam.
Jelasnya, perkara ini telah dimaklumkan kepada Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah untuk mendapatkan perkenan dan secara dasarnya baginda menyokong.

“Ya, saya akan menggalas jawatan tersebut jika tiada apa yang menghalang bermula awal Jun nanti,” katanya.
Ditanya mengenai jawatan sedia ada yang disandangnya ketika ini, Azzuddin berkata, jawatan tersebut akan disandangnya sehingga akhir Mei sebelum diganti dengan individu lain.

“Memandangkan saya menggalas jawatan di AFF nanti, jawatan di FAM perlu dilepaskan memberi peluang kepada individu baru untuk lebih memantapkan FAM.

“Buat masa ini saya sendiri tidak tahu siapa yang layak, namun percaya mereka yang bakal mengambil alih jawatan saya mampu menggalas tanggungjawab dan amanah dengan baik,” katanya.

Azzuddin turut memberi bayangan bahawa komitmen akan eratkan lagi hubungan dalam kalangan negara Asia serta mengamalkan corak hubungan mesra dalam sukan bola sepak.