Selasa, 9 April 2013

Kelab Penyokong Kelantan Mahu Nwakaemi


KOTA BHARU – Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (kelate.net) menyifatkan pemain kelahiran Nigeria, Dickson Nwakaemi layak untuk mewakili pasukan Red Warriors.

Bagi mereka, Nwakaemi mempunyai ciri-ciri penggempur yang diperlukan oleh The Red Warriors bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Kelate.net berharap penyerang kelahiran Lagos itu dapat dibawa masuk pada sesi pendaftaran pemain baharu yang bermula semalam.

Presiden kelab itu, Mohd. Khairi Yazid berkata, berdasarkan persembahan pemain berkenaan dalam tiga aksi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) baharu-baharu ini, Nwakaemi seolah-olah sudah serasi dengan Kelantan.

“Itu hanyalah pandangan kami dari sudut penyokong. Namun, keputusan untuk memilih sama ada mahu mengekalkan pemain sedia ada atau membawa masuk tenaga baharu terletak di tangan ketua jurulatih, Bojan Hodak.

“Kami menyokong penuh sebarang keputusan yang dibuat oleh Hodak kerana dia lebih mengenal dengan lebih dekat keupayaan pemain tersebut.

“Namun, apa yang kami harapkan ialah, agar Hodak dapat membuat keputusan tepat dalam pemilihan pemain bagi memastikan Kelantan terus memberikan cabaran dalam saingan musim ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan