Kelantan FA
Kelantan FA


      KELANTAN mengesahkan tempat ke pusingan kedua Piala AFC 2013 selepas mengalahkan wakil Vietnam, Shb Da Nang, 1-0 pada saingan Kumpulan G di Stadium Chi Lang, Dang Na, Vietnam, hari ini.
Kemenangan itu membolehkan pasukan 'The Red Warriors' mengekalkan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan dan mengungguli kumpulan dengan 10 mata manakala kelab Vietnam itu menghuni tangga kedua dengan enam mata.

Dua pasukan teratas kumpulan akan layak ke pusingan 16 pasukan pada saingan pusingan kedua pada 14 dan 15 Mei ini.

Walaupun masih berbaki dua perlawanan, kedudukan Kelantan tidak tergugat ke pusingan kedua apabila pasukan tangga ketiga, Maziya Sports & Recreation dari Maldives hanya mengumpul empat mata manakala wakil Myanmar, Ayeyawady United tercorot dalam kumpulan dengan tiga mata.

Percaturan ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak merehatkan ketua pasukan Mohd Badhri Radzi dan dua lagi tonggak utama iaitu pemain tengah Shakir Saari dan pemain pertahanan Mohd Daudsu Jamaluddin, tidak menjejaskan persembahan malah mampu menampilkan persembahan cemerlang untuk mengumpul tiga mata penuh.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada penjaga gawang, Khairul Fahmi Che Mat yang berjaya mematahkan beberapa percubaan bahaya daripada pasukan lawan.

Pemain import jemputan Dickson Nwakaeme dari Nigeria muncul wira Kelantan apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-71 hasil hantaran kemas yang dilakukan oleh Zairo Anuar Zailani.

Kelantan dijadual menentang kelab Maziya Sports & Recreation di Stadium Nasional Maldives pada 23 April ini sebelum menerima kunjungan Ayeyawady United di Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bharu, pada 30 April.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan kumpulan yang sama, Ayeyawady United melakarkan kemenangan sulung apabila mengalahkan Maziya Sports & Recreation 3-0 di Stadium Thuwunna, di Yangoon.

Pada pusingan kedua nanti, Kelantan akan menentang lawan daripada Kumpulan E yang terdiri daripada pasukan Semen Padang (Indonesia), Kichee (Hong Kong), Churchil Brothers (India) dan wakil Singapura, Warriors.

Pusingan suku akhir secara timbal balik akan berlangsung pada 17 dan 24 September, separuh akhir (1 dan 22 Oktober) manakala perlawanan akhir pada 2 November ini. - Bernama