Khamis, 11 April 2013

PRU13: Ubah jadual pertandingan



PERSATUAN-PERSATUAN sukan di negara ini diminta supaya menunda atau mengubah jadual pertandingan mereka sekiranya bertembung dengan tarikh pengundian Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei depan.

Demikian tegas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam.
“Saya fikir ada baiknya jadual-jadual yang diputuskan pada hari tersebut (hari pengundian) diubah kepada tarikh yang bersesuaian bagi memberi laluan kepada proses Pilihan Raya Umum.

“Bagaimanapun, kita kena tengok juga kalau acara sukan bertaraf antarabangsa yang jadualnya sukar diubah, maka ia tidak dapat dielakkan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan perlawanan amal antarabangsa Malaysia dengan Palestin di ibu negara semalam.

Ahmad Shabery berharap semua persatuan sukan akan berusaha membuat perubahan jadual bagi membolehkan atlet-atlet negara menjalankan kewajipan untuk keluar mengundi.
“Mengundi perlu diberi keutamaan kerana masa depan negara bergantung kepada pengundian itu. Ini adalah tanggungjawab sekali dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Perlawanan persahabatan amal bola sepak antara Malaysia dan Palestin itu berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 26 Mac lepas dan berjaya mengutip sumbangan berjumlah RM1.14 juta.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM415,635 disalurkan kepada Tabung Palestin manakala RM717, 891.75 disumbangkan kepada Tabung Wira Lahad Datu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang berangkat menghadiri majlis tersebut menyerahkan sumbangan Tabung Palestin kepada Duta Palestin di Malaysia, Abdelaziz Aboughosh bagi tujuan pembangunan sukan bola sepak di negara berkenaan.

Cek sumbangan kepada Tabung Wira Lahad Datu itu disampaikan kepada Ketua Pegawai Operasi, Perkhidmatan Perkongsian Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid.

Pada perlawanan persahabatan amal itu, skuad Harimau Malaya kalah 0-2 kepada pasukan Palestin.
Dalam perkembangan yang sama, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berharap supaya pihak penganjur mana-mana kejohanan sukan menyemak semula jadual pertandingan mereka.

“Kalau boleh, jawatankuasa penganjur kejohanan mengubah suai jadual bagi membolehkan atlet-atlet yang layak mengundi melaksanakan tugas mereka sebagai warganegara Malaysia. Tidak semua atlet kita berasal dari sini (Kuala Lumpur), dan kita perlu beri peluang kepada mereka melaksanakan tanggungjawab itu,” katanya.

Sehubungan dengan tarikh pengundian yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu pada 5 Mei depan, Zolkples berkata, MSN akan mengeluarkan satu makluman kepada semua persatuan sukan berhubung perkara berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan