Ahad, 31 Januari 2016

Larangan Pengimpotan Anak Benih Pokok Palma

PASIR PUTEH - Jabatan Pertanian Malaysia akan bekerjasama dengan beberapa jabatan dan agensi penguatkuasa yang berkaitan dengan tugasan di sempadan negara bagi menghalang kemasukan semua jenis pokok palma secara haram termasuk pokok kurma ke negara ini.

Ketua Pengarah Pertanian Malaysia Datuk Ahmad Zakaria Mohammad Sidek berkata, larangan pengimpotan anak benih pokok palma termasuk pokok kurma itu bagi mengatasi serangan Kumbang Merah Palma (Rhynchophorus ferrugineus) atau Red Palm Weevil (RPW) ke atas tanaman palma.
Pada tahun 2010 Jabatan Pertanian telah mula mengesan serangan RPW di beberapa negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang
dan ianya dikuatkuasakan sejak 2011 lagi tetapi palma dipercayai dibawa masuk secara haram.
Sehingga kini, Kumbang Palma Merah merosakkan 335 pokok kurma dan 465 hektar kelapa di seluruh negara," katanya dalam sidang media bersempena lawatan kerjanya ke ladang kurma di Binjai Kota Bharu dan Kampung Wakaf dekat sini, hari ini.

Jabatan Pertanian mengambil langkah lebih ketat dengan menguatkuasakan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan-peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981 bagi menghalang kemasukan pokok palma yang tidak sah.

Tambahnya, walaupun kumbang tersebut lebih cenderung kepada pokok kurma, pihaknya terpaksa mengawal semua jenis palma.
Katanya, syarikat-syarikat yang mengusahakan ladang dan landskap perlu berdaftar dengan jabatan bagi memudahkan urusan pemantauan.





Pas bertanding 11 kerusi Dun Sarawak

KUCHING  - Pas akan meletakkan calon di 11 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan bersedia menentang mana-mana calon termasuk daripada DAP, kata pengarah Pilihan Raya Pas Datuk Mustafa Ali.
Beliau berkata sembilan daripada kerusi itu merupakan kawasan lama Dun Sarawak, manakala baki dua lagi kerusi merupakan kawasan baharu Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Sarawak yang menyaksikan pertambahan 11 kerusi Dun di negeri ini.
Katanya keputusan Pas untuk bertanding di 11 kerusi tersebut juga telah dibincangkan bersama PKR kerana Pas masih mempunyai hubungan dengan parti itu dan tiada perbincangan diadakan dengan DAP.
"Setakat perbincangan dengan PKR, kita tidak mahu ada pertandingan kerusi dengan mereka (PKR), tetapi yang lain boleh bertindih...tiada masalah sebab kita tidak ada hubungan dengan mereka.
"Kita akan bertanding di 11 Dun, Pas akan meletakkan calon daripada pelbagai latar belakang termasuk profesional, agamawan dan juga usahawan. Pada PRN Sarawak, Pas juga akan meletakkan seorang calon bukan Islam di kerusi Dun yang baharu diluluskan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Mustafa bersama beberapa pimpinan Pas pusat dan negeri menghadiri mesyuarat Pilihan Raya Pusat berkenaan PRN Sarawak di sini.
Turut hadir Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya Pas Sarawak Jofri Jaraiee dan Setiausaha Pas Sarawak Mukhtar Suhaili.
Mengulas lanjut, Mustafa berkata Pas Sarawak akan menghantar senarai calon PRN negeri kepada Majlis Syura Pas untuk pertimbangan pertengahan Februari nanti.
"Majlis Syura akan semak calon ini, kelayakan mereka untuk bertanding, sebelum meluluskan penempatan mereka. Perbincangan mengenai calon-calon ini akan turut diadakan menerusi perbincangan dengan Pas Sarawak," katanya.
Sementara itu, Mustafa berkata pengumuman oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem semalam bahawa PRN negeri akan diadakan pada April amat di alu-alukan.
Katanya, Pas menjangkakan PRN Sarawak akan diadakan pada Mac tetapi dengan berita yang diumumkan oleh Adenan itu memberi indikasi terbaharu persediaan pilihan raya Pas. -Bernama

NASIHAT ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA

Gambar hiasan
NASIHAT ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA
(KATEGORI PERTAMA)
Dikeluarkan pada pukul 06:34PM, 30 Januari 2016
SEKSYEN A: UNTUK PERAIRAN MALAYSIA
NASIHAT ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA (KATEGORI PERTAMA)
Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (11 kaki) dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, WP Labuan dan Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat) bermula Selasa, 2 Februari 2016 sehingga Sabtu, 6 Februari 2016.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.
Selain daripada itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut. Keadaan ini dijangka bermula 2 sehingga 4 Februari 2016.
SEKSYEN B: UNTUK PERKAPALAN
NASIHAT ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA (KATEGORI PERTAMA)
Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (11 kaki) dijangka berlaku di kawasan perairan:
i) Condore dan Reef North bermula Isnin, 1 Februari 2016 sehingga Sabtu, 6 Februari 2016.
ii) Samui, Tioman, Bunguran, Layang-Layang, Reef South, Kuching, Palawan dan Labuan bermula Selasa, 2 Februari 2016 sehingga Sabtu, 6 Februari 2016.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.


Malaysian Meteorological Department