Isnin, 22 Februari 2016

FAM HANTAR SURAT KEPADA FIFA CALONKAN GOL FAIZ SUBRI

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada hari ini telah pun menghantar surat kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi mencadangkan gol pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri dicalonkan untuk Anugerah Puskas 2016.
 Dalam surat berkenaan, FAM mencadangkan kepada FIFA agar gol dijaringkan pemain berusia 29 tahun itu menerusi sepakan percuma unik dari jarak kira-kira 32 meter pada minit ke-62 ketika perlawanan Liga Super 2016 antara Pulau Pinang bertemu Pahang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari 2016 dapat tersenarai sebagai salah satu calon anugerah itu.
 FAM turut melampirkan salinan video gol tersebut untuk dinilai oleh FIFA.


 Biarpun mengetahui bahawa senarai 10 calon gol tercantik untuk Anugerah Puskas 2016 itu akan dicadangkan dan dipilih sendiri oleh FIFA dan jawatankuasa pemilihannya, FAM berpendapat surat cadangan tersebut tetap perlu dihantar kepada FIFA sebagai tanda sokongan FAM dan bagi memastikan gol berkenaan mendapat perhatian FIFA.
 Berdasarkan keunikan gol berkenaan, FAM turut yakin ia akan berjaya tersenarai sebagai salah satu daripada 10 calon gol tercantik dunia yang bakal dicalonkan untuk Anugerah Puskas 2016, sekali gus satu sejarah baharu buat bola sepak Malaysia mampu dilakar.

DATO’ HAJI HAMIDIN HAJI MOHD AMIN
SETIAUSAHA AGUNG FAM
22 FEBRUARI 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan