Rabu, 24 Februari 2016

PREVIU PIALA FAM 2016

Saingan liga divisyen tiga kebangsaan, Piala FAM 2016 bakal membuka tirainya pada Ahad ini, 28 Februari 2016 dengan menampilkan empat perlawanan Kumpulan A dan empat perlawanan Kumpulan B.
Sebanyak 17 pasukan menyertai saingan Piala FAM musim ini dengan Kumpulan A menampilkan sembilan pasukan manakala Kumpulan B membariskan lapan pasukan selepas KL TNB Kilat FC menarik diri pada saat akhir.
Bagi Kumpulan A, pasukan yang kempunan naik ke Liga Premier 2016 apabila sekadar muncul naib juara Kumpulan B Liga FAM 2015 di belakang Melaka United iaitu MISC-MIFA kendalian jurulatih Jacob Joseph berdepan ujian sulung menentang Persatuan Bolasepak Ipoh (PB Ipoh) bimbingan jurulatih A Pugelenthi di Stadium Mini Manjung, Perak.
MISC-MIFA menampilkan dua pemain berpengalaman, K Nanthakumar, 39, dan Yosri Derma Raju, 34, serta bekas penyerang muda Real Mulia FC, Ash Hameed, 18, manakala PB Ipoh turut dibarisi bekas penyerang Perak dan Selangor, R Surendren, 34.
Sungai Ara FC kendalian jurulatih Azhar Abdul Rahman yang menduduki tempat keenam Kumpulan A musim lalu akan menanti kunjungan pendatang baharu, DYS FC dari Sabah bimbingan jurulatih Stanley Chew Boon Ming dan dibantu K Sanbagamaran.
Antara bekas pemain Pulau Pinang yang membarisi Sungai Ara FC ialah penjaga gol Amir Omar Khata, 27, Saufi Ibrahim, 33, dan Wan Hossen Wan Abd Ghani, 27, manakala DYS FC turut menampilkan beberapa bekas pemain Sabah seperti Zainizam Marjan, 36, Reithudin Emran, 38, Razlan Oto, 32, dan Jufrey Omopor, 31.
Pasukan disebut-sebut sebagai pilihan musim ini, AirAsia Allstars FC kendalian jurulatih Mohd Nidzam Jamil pula akan berkunjung ke Stadium Darul Makmur, Kuantan berdepan pasukan yang sudah lama beraksi di Piala FAM, Shahzan Muda FC bimbingan jurulatih Tajuddin Nor.
AirAsia Allstars FC menampilkan ramai pemain berpengalaman beraksi di pentas Liga Super dan Liga Premier seperti penjaga gol Syamsuri Mustafa, 35, Hasmarul Fadzir Hassan, 30, Mohd Fairuz Abdul Aziz, 31, Zamri Morshidi, 33, Hafiszuan Salehuddin, 29, Zamri Hassan, 35, Syamsol Sabtu, 31, Khyril Muhymeen Zambri, 29, Badrul Hisani Abd Rahman, 32, Hazwan Rahman, 26, dan Reeshafiq Alwi, 34.
Shahzan Muda pula musim ini menampilkan majoriti pemain muda sekitar usia 22 hingga 23 tahun dengan pemain paling tua dalam pasukan terdiri daripada tiga pemain berusia 27 tahun iaitu penjaga gol Mohd Wafieyuddin Samsudin, Syuaib Saffiq Ariffabillah dan Wan Mohd Idham Wan Sulaiman.
Satu lagi pasukan pilihan, Felcra FC kendalian bekas pemain tengah kebangsaan dari Perlis, Yusri Che Lah, 40, akan beraksi di tempat lawan untuk aksi pertama menentang kelab dari Selangor, Megah Murni FC bimbingan jurulatih R Nallathamby di Stadium Mini BSN, Bangi.
Antara nama besar yang membarisi Felcra FC musim ini terdiri daripada bekas kapten Perak, Shahrulnizam Mustapa, 35, Azizi Mat Rose, 35, Azi Shahril Azmi, 31, Fazliata Taib, 31, Shahrizal Saad, 29 dan bekas penyerang SV Wehen, Pahang, Selangor, KL Plus, T-Team dan Sime Darby FC, Fadzli Saari, 33.
Megah Murni FC pula yang menampilkan majoriti pemain berbangsa India turut diperkuat dua bekas pemain Sarawak musim lalu, G Mahathevan, 28, dan A Varathan, 31.
Satu lagi pasukan dalam Kumpulan A, Penjara FC kendalian Abdul Rahim Abdullah tidak beraksi untuk hari pertama saingan dan hanya akan memulakan cabaran pada hari kedua pertandingan pada 6 Mac ini.
Sementara itu, bagi Kumpulan B, dua pendatang baharu bertembung di Stadium Keningau, Sabah menyaksikan tuan rumah, Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDMM) FC melayan kunjungan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC.
KDMM FC kendalian bekas penolong jurulatih Sabah, Andrew Majanggim turut dibarisi beberapa bekas pemain Sabah antaranya Rezuan Radzy, 35, Zuraindey Jumai, 36, dan Rosdin Wasli, 34, serta penyerang, Ian James Wong, 34, anak kepada legenda bola sepak negara, James Wong dan juga presiden kelab itu sendiri, Datuk Peter Anthony, 45.
PKNP FC pula dibimbing bekas penolong jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim serta dibarisi majoriti bekas pemain skuad Piala Presiden Perak dan juga beberapa bekas pemain kelab lain yang beraksi di Liga FAM 2015.
Satu lagi pasukan baharu, Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) kendalian jurulatih Mohd Ali Khan Abdullah pula akan menanti kehadiran kelab dari Terengganu, Hanelang FC bimbingan jurulatih Abdul Rahim Ahmad di Stadium Mini UKM, Bangi.
Turut mencuri tumpuan, pasukan Kementerian Kewangan (MOF) FC kendalian bekas penolong jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail yang akan bertandang ke Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu menentang pasukan baharu, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Ubes FC bimbingan jurulatih Mahadi Yusof.
MOF FC menampilkan bekas-bekas pemain Liga Super dan Liga Premier seperti Rudie Ramli, 34, Nizad Ayub, 28, Solihin Kanasian, 33, Aminuddin Mohd Noor, 25, dan penjaga gol Razi Effendi Suhit, 36.
MPKB-BRI Ubes FC pula membariskan pemain-pemain tempatan berasal dari Kelantan termasuk bekas penjaga gol Pos Malaysia, Shahruddin Ismail, 32, yang juga adik kepada penjaga gol Kelantan, Shahrizan Ismail serta bekas pemain futsal kebangsaan, Asmie Amir Zahari, 29.
Satu lagi pasukan baharu perlu diambil perhatian ialah Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) FC kendalian jurulatih Remeli Junit yang bakal menanti kunjungan pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC di Stadium Hang Tuah, Melaka.
SAMB FC diperkuat bekas pemain tengah berpengalaman yang pernah beraksi bersama Melaka, Johor FC, Sarawak dan Pulau Pinang, Azizan Baba, 35, dan bekas penyerang Perlis, Sime Darby FC, T-Team, Melaka dan PKNS FC, Yusri Abas, 28.
UKM FC pula memiliki penjaga gol berpengalaman, Badrol Hanapi Ali, 27, yang pernah beraksi bersama Kuala Lumpur, Kuantan FA, Melaka, PKNS FC dan T-Team serta dibantu pemain-pemain muda universiti berkenaan.
Kesemua perlawanan sulung yang bakal berlangsung Ahad ini, sepak mulanya jam 4.45 petang kecuali aksi KDMM FC bertemu PKNP FC bermula jam 4.15 petang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan