Selasa, 31 Mei 2016

POLIS SELANGOR RAMPAS 600,000 PIL ERAMIN 5 BERNILAI 9 JUTA


SHAH ALAM: Ekoran tangkapan seorang suspek berkaitan rampasan dadah jenis erimin 5 yang dibuat pada 18 Mei baru-baru ini, hasil soal siasat yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor  terhadap suspek yang sama telah membongkar satu lagi rampasan yang melibatkan dadah jenis erimin 5.

Ketua polis Selangor, CP Dato ‘ Abdul Samah bin Hj. Mat dalam sidang medianya sebentar tadi berkata  susulan daripada penahanan suspek tersebut , serbuan kedua  yang dilakukan pada 22 Mei di sebuah gudang yang terletak di Jalan Udang Gantong, Telok Gong , Klang, Selangor.

Hasil pemeriksaan polis di dalam gudang tersebut telah menjumpai 60 kotak saiz serdehana dan pemeriksaan teliti ke atas kotak-kotak tersebut terdapat 600,000 biji pil dipercayai dadah jenis erimin 5.

Menurut Ketua Polis Selangor lagi, setiap sebiji yang dijual di pasaran dianggarkan RM 15 ringgit dan nilai keseluruhan rampasan RM 9 juta. Pihak polis kini sedang giat memburu seorang  lagi suspek dipercayai terlibat dalam sindiket tersebut.

Suspek yang kini ditahan reman dari 25 Mei sehingga 31 Mei dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

sumber: POLIS Selangor

15 AKTIVIS BLACK 505 DISABITKAN BERSALAH


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Jenayah hari ini memutuskan 15 aktivis yang menyertai protes membantah pelaksanaan pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Black 505, bersalah kerana berhimpun dan membuat kecoh di depan pintu pagar bangunan Parlimen.

Antara yang didapati bersalah adalah anggota PKR Badrul Hisham Shaharin yang dikenali Cikgu Bard serta 14 yang lain.

Selain beliau, Ahmad Syukri Che Ab Razab, Muhammad Safwan Anang, Adam Adli Abd Halim, Md Sani Md Shah, Edy Nor Reduan, Ahmad Shauqie, Ekhsan Bukharee, Norazimah Mohammad Nor (Nora Reformis) dan Lim Sue Pei.

Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 143 dan 147 Kanun Keseksaan.

Aiman Hakim, Mah Chee Hoe, Tong Chan Sang,  Abdullah Hassan dan Annie Ooi Siew Lin (Auntie Bersih) pula didakwa di bawah Seksyen 143 sahaja.

Mereka yang dituduh mengikut Seksyen 145 iaitu menyertai perhimpunan haram manakala yang didakwa merusuh didakwa di bawah Seksyen 147.

Mereka adalah sebahagian daripada 33 peserta yang ditahan dalam demonstrasi terbabit tetapi 18 aktivis lain kemudiannya dibebaskan.

PENCALONAN TETAP SAH WALAUPUN CALON TIDAK HADIR - SPR


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan dakwaan bahawa pencalonan akan menjadi tidak sah sekiranya calon tidak hadir pada hari penamaan calon, adalah tidak tepat.

Pengerusinya Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata di bawah Peraturan 6 (2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, borang pencalonan boleh dikemukakan oleh calon dan pencadang dan penyokongnya, atau oleh mana-mana dua, atau mana-mana seorang daripada mereka.

"Berdasarkan peraturan ini amat jelas tiada halangan dari segi undang-undang sekiranya borang penamaan calon tidak dikemukakan sendiri oleh calon tersebut tetapi boleh juga dikemukakan oleh salah seorang, sama ada pencadang atau penyokong beliau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata di bawah peraturan itu, kertas penamaan calon mesti diserahkan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di tempat penamaan antara 9 hingga 10 pagi pada hari tersebut.

"Sama ada sah atau tidak borang penamaan tersebut bagi menentukan kelayakan bakal calon masih tertakluk kepada syarat-syarat yang sedia ada bagi kelayakan seseorang calon sepertimana dalam Perlembagaan Persekutuan dan perundangan bertulis yang berkaitan Pilihan Raya yang berkuatkuasa buat masa ini," katanya.

Isu timbul apabila terdapat pihak yang mendakwa pencalonan Datin Mastura Mohd Yazid bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar tidak sah sekiranya beliau tidak hadir pada hari penamaan calon 5 Jun ini.

PRK Kuala Kangsar diadakan pada 18 Jun ini, setelah Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar yang juga Anggota Parlimen kawasan itu, terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Isnin, 30 Mei 2016

POLIS KEDAH MINTA SAKSI KES PUKUL TAMPIL BANTU SIASATAN


ALOR SETAR: YDH DCP Dato' Abdul Jalil B. Hassan, Timbalan Ketua Polis Kedah meminta kepada saksi kejadian insiden dakwaan Timbalan Speaker Kedah, Datuk Azmi Che Hussien dan anaknya mengasari pasangan kekasih sehingga cedera di hadapan pusat beli-belah Aman Central di Lebuhraya Darul Aman sehingga menjadi viral di media sosial agar tampil untuk memberi keterangan dalam membantu pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

"Melalui rakaman video, saya percaya ada beberapa orang yang menunggang motosikal membantu meleraikan pergaduhan tersebut".

Tambahnya lagi "Saya juga mohon kepada perakam video tersebut tampil memberi kerjasama kepada pihak polis" ujarnya ketika ditemui dalam Majlis Tamat Latihan Konstabel Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia Siri 3/2014 dan Siri 1/2015 yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

Viral berkaitan insiden pergaduhan didakwa membabitkan Azmi mula dimuatnaik di laman sosial Facebook sejak Khamis lalu oleh pengadu, Alif Adam Mohd Munaim,23.

Video berdurasi 33 saat memaparkan mangsa dibelasah tiga lelaki itu menjadi viral selepas didakwa berlaku apabila mangsa menaiki kereta bersama teman wanitanya keluar dari pusat beli belah itu memasuki laluan tengah di lampu isyarat Lebuhraya Darul Aman.

SUMBER & FOTO: PDRM KEDAH

RAFIZI BUAT LAPORAN SPRM, RASUAH WANG DAN PEREMPUAN



PUTRAJAYA: Rafizi Ramli menunaikan janjinya hari ini untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dengan dakwaan rasuah wang dan perempuan oleh pegawai kerajaan negeri Selangor.

Setiuasaha Agung yang juga Naib Presiden PKR itu membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pagi ini selepas mendapat lampu hijau dari Biro Politik PKR yang bermesyuarat baru-baru ini.

Sebelum ini, perbualan Rafizi dalam kumpulan whatsappnya telah didedahkan kepada umum berkaitan dakwaan permintaan rasuah wang dan perempuan oleh pegawai kerajaan negeri Selangor.

Ekoran itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuat kenyataan bertulis mengecam dakwaan itu dan menyifatkan ianya sebagai usaha melemahkan kerajaan negeri Selangor dan intergriti pegawainya.

Ekoran itu, isu ini dibawa kepada Biro Politik PKR dan mesyuarat itu meminta Rafizi membuat laporan kepada SPRM mengenainya jika mempunyai bukti.

Umno juga berjanji akan membuat laporan polis jika Rafizi tidak membuat laporan kepada SPRM hari ini.

“Kepada semua termasuklah rakan-rakan Umno/BN  yang seperti kadok naik junjung mendesak saya membuat laporan SPRM, sedang mereka menikus mengenai 1MDB dan pelbagai skandal lain bahawa saya akan membuat laporan SPRM mengenai aduan salah laku pada hari Isnin, 30 Mei 2016 jam 11:30 pagi di ibu pejabat SPRM, Putrajaya,” kata Rafizi dalam satu kenyataannya sebelum ini.

Rafizi juga berkata beliau ‘berbangga’ dengan tindakan Presiden PKR, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail dan keputusan biro politik yang bermesyuarat malam Selasa lalu kerana mengarahkannya menyerahkan semua bukti yang dimilikinya kepada SPRM.

“Ini akan menjadi satu rujukan atau precedent selepas ini, bahawa mana-mana anggota parti yang mempunyai maklumat salah laku atau penyelewengan melibatkan anggota parti atau pentadbiran yang membabitkan anggota parti boleh melaporkan terus ke SPRM atau pihak berkuasa tanpa perlu khuatir ia bakal dilihat sebagai tindakan mensabotaj parti.

“Keputusan itu adalah hadiah terbaik kepada peringatan Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, supaya pimpinan dan anggota parti tidak menyimpang dari niat dan matlamat asal perjuangan reformasi,” katanya.

FESTIVAL FLORIA DIRAJA 2016


PUTRAJAYA: Festival Floria Diraja Putrajaya 2016 kembali lagi, festival tahunan bunga dan taman terbesar di Malaysia (Putrajaya) dengan resminya dibuka kepada orang ramai mulai 27 Mei 2016 bersempena musim cuti sekolah.

Magical World of Floria merupakan tema yang dipilih pada tahun ini dengan membawa bunga Kekwa atau Chrysanthemum sebagai tema bunganya. Festival yang dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya, disokong oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan diuruskan oleh Putrajaya Floria Sdn Bhd.

Bertempat di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya, festival yang akan dibuka kepada orang ramai  selama sembilan (9) hari bermula dari 27 Mei sehingga 04 Jun 2016 bermula seawal jam 8.00 pagi hingga 11.00 malam. Bayaran masuk dikenakan sebanyak RM 7.50 bagi orang dewasa dan RM 3.50 bagi kanak-kanak/warga emas/OKU.

LIMA KERETA TERBAKAR



SUNGAI PETANI: Lima kereta di garaj rumah di Persiaran Cinta Sayang, Kelab Cinta Sayang, di sini, musnah terbakar petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani Penguasa Bomba Kanan II Mohd Radzi Abdul Talib berkata, kebakaran kira-kira 5 petang itu membabitkan kereta jenis Perodua Kelisa, Proton Satria Neo, Proton Saga BLM, Vellfire dan BMW 320i.

"Kami menerima panggilan pada 5.16 petang sebelum jentera dan 13 pegawai serta anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani serta enam anggota bomba sukarela dari Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani ke lokasi kejadian.

"Setibanya kami pada 5.30 petang di lokasi kebakaran, kami dapati lima kereta di garaj rumah mangsa terbakar.

"Kebakaran juga hampir mengenai rumah mangsa, namun tindakan segera diambil bagi mengawal api daripada merebak ke rumah mangsa," katanya.

Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan.

JANGAN TANGKAP PENGKRITIK SAYA - TMJ


Tunku Ismail Sultan Ibrahim meminta pihak polis supaya tidak menangkap mereka yang membuat kenyataan berunsur hasutan terhadapnya.

Sebaliknya Tunku Mahkota Johor itu berharap pertemuan dapat diatur antara beliau dan mereka yang terlibat.

"Saya lebih suka jika pihak berkuasa dapat menganjurkan pertemuan antara saya dengan individu-individu tersebut dan memberikan mereka peluang untuk menyuarakan apa yang mereka mahu katakan kepada saya secara berhadapan," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang disiarkan di lamanFacebook Johor Southern Tigers pada Isnin.

Baru-baru ini seorang penyokong bola sepak Pahang, Muhammad Masyhur Abdullah ditahan polis kerana dituduh mengutuk Tunku Ismail yang juga pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di Twitter.

Ahad, 29 Mei 2016

AMARAN KATEGORI PERTAMA AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA


Dikeluarkan pada pukul 08:22AM, 29 Mei 2016


AMARAN KATEGORI PERTAMA
AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA

SEKSYEN A: AMARAN UNTUK PERAIRAN MALAYSIA

AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA (KATEGORI PERTAMA)

i) Angin kencang Barat Daya dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (11 kaki) dijangka berlaku di kawasan perairan Perlis dan Kedah sehingga Selasa, 31 Mei 2016.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

SEKSYEN B: AMARAN UNTUK PERKAPALAN

AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA (KATEGORI PERTAMA)

Angin kencang Barat Daya dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter (11 kaki) dijangka berlaku di kawasan perairan Phuket sehingga Selasa, 31 Mei 2016.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

sumber: MALAYSIAN METEOROLOGICAL DEPARTMENT

Sabtu, 28 Mei 2016

MASTURA CALON BN PRK KUALA KANGSAR



KUALA KANGSAR: Datin Mastura Yazid,balu kepada Allahyarham Datuk Wan Khairil Anuar dipilih sebagai calon BN untuk pilihanraya kecil Parlimen kawasan Kuala Kangsar.


Dipercayai kerana soal iddah kematian suami,beliau tidak hadir di majlis pengumum nama calon di Command Center BN di Kuala Kangsar oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi petang Sabtu.

Sebaliknya menerusi video yang ditayang kepada hadirin di majlis itu Mastura ata terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Besar Perak kerana pilihnya sebagai calon BN.

Peguam yang berusia 55 tahun itu kata beliau berhasrat untuk sambung tugas Allahyarham suaminya.

CALON PAS PRK - DR NAJIHATUSSALEHAH AHMAD KUALA KANGSAR, DR RANI SUNGAI BESAR


PRK SUNGAI BESAR & KUALA KANGSAR: Dr Najihatussalehah Ahmad dan Dr Abdul Rani Osman masing-masing diumumkan sebagai calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar, malam ini.


Nama Dr Rani yang juga Adun Meru diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Majlis Pengisytiharan Calon PAS PRK P.099 Sungai Besar di Markas PAS Simpang 5, Sungai Besar.

Turut meraikan pengumuman calon Naib Presiden PAS merangkap Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad; Presiden Ikatan, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir, Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Selangor, Mohd Haslin Hassan.

Sementara, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula mengumumkan nama Dr Najihatussalehah yang juga AJK PAS Pusat pada Majlis Pengisytiharan Calon PAS P.067 Kuala Kangsar di markas PAS kawasan, Bukit Chandan.

Turut hadir ialah Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustaz Nuridah Mohd Salleh, Ketua Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS, Datuk Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dan Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Khairil Nizam Khirudin.

BUDIMAN CALON BN PRK SUNGAI BESAR



SUNGAI BESAR: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada 18 Jun ini.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO pada majlis pengumuman calon BN dan pelancaran jentera pilihan raya kecil itu di Pusat Arahan BN di Sungai
Panjang, di sini, malam ini.

Budiman, 44, adalah anak tempatan yang berasal dari Kampung Sungai Limau di
sini, dan juga Setiausaha ADUN BN Selangor.

Beliau, yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkahwin dengan Norma Aida Abdullah dan dikurniakan seorang anak perempuan berumur 16 tahun.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada 2013, Budiman menang kerusi DUN Sungai Panjang selepas menewaskan Mohd Fadzin Taslimin daripada PAS dengan majoriti 2,183 undi.

DUN Sungai Panjang berada di bawah Parlimen Sungai Besar.

PRK Parlimen Sungai Besar diadakan pada 18 Jun ini dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun, manakala pengundian awal pada 14 Jun.

Kekosongan kerusi Parlimen itu berikutan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Pada PRU13, Allahyarham Noriah mendapat 18,695 undi dengan majoriti 399 undi mengalahkan calon PAS, Mohamed Salleh M.Hussin yang memperoleh 18,296 undi.

Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi berdaftar dengan 67.18 peratus pengundi Melayu, 30.68 peratus pengundi Cina, 1.91 peratus pengundi India dan 0.23 peratus pengundi dari kaum lain.

Jumaat, 27 Mei 2016

PERTANIAN LESTARI TANPA RACUN - CAP


GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dengan kerjasama Jabatan Pertanian telah mengadakan program ‘Pertanian Lestari Tanpa Racun’ diperkarangan Pejabat Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Jalan Masjid Negeri, Jelutong, Pulau Pinang. Program ini merupakan inisiatif persatuan tersebut dalam mempromosikan pertanian asli atau pertanian organik tanpa menggunakan racun kimia dengan mengamalkan konsep pertanian bandar.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang adalah persatuan yang memperjuangkan hak pengguna dari semua aspek kepenggunaan. Persatuan ini telah ditubuhkan sejak 40 tahun dahulu dan telah menjalankan pelbagai aktiviti dalam usaha mempertingkatkan kualiti hidup dan kesihatan pengguna.

Dalam usaha untuk menyedarkan para pengguna mengenai bahaya penggunaan bahan-bahan kimia yang merbahaya dalam makanan dan produk pertanian, CAP telah mengorak satu langkah ke hadapan dengan membangunkan kebun pertanian asli di atas tanah seluas ¾ hektar di halaman pejabat CAP. Di kebun ini, CAP telah mengamalkan pertanian organik tanpa menggunakan sebarang racun dan bahan kimia. Tujuannya adalah untuk memberi pendidikan dan pengajaran kepada pelbagai lapisan masyarakat seperti guru-guru, pelajar sekolah, pelajar institut pengajian tinggi, suri rumah tangga, penghuni pangsapuri dan juga badan-badan swasta berkenaan kaedah pertanian asli atau organik.

Hasil daripada usaha ini, pihak CAP telah bercadang untuk mengadakan satu program yang bertujuan untuk mengumpulkan golongan sasar ini bagi mempromosikan kebun pertanian asli CAP supaya ia dapat memberi dorongan kepada masyarakat awam untuk menanam sendiri dengan mengamalkan pertanian asli. Daripada cadangan itu, CAP telah mengadakan program “Pertanian Lestari Tanpa Racun” dan telah dirasmikan oleh Ybhg. Dato’ Ahmad Zakaria bin Mohamad Sidek, Ketua Pengarah Pertanian Malaysia.

Dalam ucapan perasmiannya, Ybhg Dato’ Ahmad Zakaria menyatakan bahawa Jabatan Pertanian sangat mengalu-alukan dan menyokong penuh usaha CAP dan juga pihak-pihak swasta lain yang ingin membangunkan kebun pertanian yang mengamalkan konsep ‘natural farming’. Ia adalah selari dengan program pertanian bandar yang sedang giat dipromosikan oleh Jabatan Pertanian. Ybhg Dato’ juga mencadangkan supaya kebun pertanian asli CAP ini mendapatkan pensijilan myOrganic daripada Jabatan Pertanian.

Sumber: FB Jabatan Pertanian

Berita/Foto: Mohd Azhrulnoor Bin Ab Manaf

KAFA LANCAR KAD DEBIT-i BANK ISLAM VISA KELANTAN FA


KOTA BHARU: Timbalan Presiden KAFA, Dato' Sri Afandi Hamzah melancarkan Kad Debit-i Bank Islam Visa Kelantan FA khas untuk penyokong setia PQPTRW.

Sempena dengan perlancaran ini,Bank Islam turut melancarkan kempen khas untuk pengguna Kad The Red Warriors dimana mereka mempunyai peluang untuk memenangi wang tunai dengan hanya membelanjakan minimum RM50 dalam 1 transaksi perbelanjaan runcit untuk melayakkan penyertaan.

sumber: TRWFC

KEAJAIBAN TAMAN KELULUT DI DUNIA FLORIA



PUTRAJAYA: Festival Floria Diraja Putrajaya 2016 kembali lagi, festival tahunan bunga dan taman terbesar di Malaysia (Putrajaya) dengan resminya dibuka kepada orang ramai mulai 27 Mei 2016 bersempena musim cuti sekolah.



Magical World of Floria merupakan tema yang dipilih pada tahun ini dengan membawa bunga Kekwa atau Chrysanthemum sebagai tema bunganya. Festival yang dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya, disokong oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan diuruskan oleh Putrajaya Floria Sdn Bhd.

Bertempat di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya, festival yang akan dibuka kepada orang ramai  selama sembilan (9) hari bermula dari 27 Mei sehingga 04 Jun 2016 bermula seawal jam 8.00 pagi hingga 11.00 malam. Bayaran masuk dikenakan sebanyak RM 7.50 bagi orang dewasa dan RM 3.50 bagi kanak-kanak/warga emas/OKU.

Jabatan Pertanian seperti tahun-tahun sebelumnya tidak ketinggalan menyertai festival ini setiap kali ianya diadakan. Kali ini jabatan melalui Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur (PTIF) turut mempamerkan kehebatan dan keindahan taman yang bertemakan ‘Keajaiban Taman Kelulut Di Dunia Floria’ kepada pengunjung festival kali ini.

Pertanian Malaysia yang berperanan dalam mempergiatkan transformasi pertanian   sebagai sektor moden, dinamik dan berdaya maju secara komersial dengan membangunkan industri makanan dan bunga-bungaan bagi memastikan pengeluaran makanan adalah selamat dan mesra alam.

Taman yang mengadaptasikan konsep pertanian bandar dan laman edible ini akan memberi kesedaran kepada pengunjung bahawa penduduk bandar dan sub-bandar boleh melibatkan diri dalam sektor ini. Aktiviti-aktiviti yang dikemukakan akan membantu mereka dalam mengurangkan perbelanjaan ke atas barang makanan dan juga kos sara hidup harian. Malah penglibatan aktiviti ini dapat meningkatkan   kesihatan kesejahteraan dan seterusnya memperbaiki dan mengindahkan   pandangan landskap di kawasan kediaman, pejabat, sekolah dan institusi.

Selain dari itu konsep Keajaiban Taman Kelulut Di Dunia Floria yang dikemukakan mengabungkan trend terkini taman edible dengan mengetengahkan unsur-unsur penternakan kelulut (stingless honey bee), selaras dengan tema Magical Floria 2016 pada acara Royal Floria Putrajaya kali ini,  

Taman Keajaiban Taman Kelulut Di Dunia Floria terbahagi kepada 5 bahagian utama iaitu

i. Gerbang terowong kelulut
ii. Denai kayu Pallet
iii. Taman edible menegak
iv. Taman kelulut dan struktur sarangnya
v. Ruang penggambaran

Bermula dari gerbang terowong kelulut, pengunjung akan berjalan melalui denai   kayu pallet dan akan kelihatan koloni kelulut tenggelam di dalamnya. Taman ini akan mempamerkan ciri-ciri rekabentuk kelulut. Kesan cahaya dan bunyi di dalam terowong tersebut akan membuatkan pengunjung mengalami rasa keindahan dan   keajaiban ketika berada di dalam sarang kelulut.

Selain itu, taman ini akan memberikan pendidikan secara tidak langsung untuk kanak-kanak sekolah dan juga orang ramai secara keseluruhannya untuk mengenal pelbagai spesis tanaman edible serta pelbagai jenis koleksi tanaman bunga kekwa yang berwarna-warni selaras dengan tema tahun ini.

Pengunjung juga akan menikmati suasana ketenangan ketika berada dalam taman ciptaan kakitangan Jabatan Pertanian ini. Selain itu pengunjung dapat mengalami sendiri penyusunan madu kelulut dari hive serta duduk bersantai di ‘Bean Bags Seating’ yang telah disediakan di kawasan dek santai di tengah taman dengan suasana dan udara nyaman. Akhir sekali,pengunjung boleh merakamkan segala kenangan manis dan akan tertarik dengan konsep pembangunan taman termasuk penggunaan elemen air yang mengambarkan kolam madu kelulut (sunken fountain) yang unik.

Selain dari itu, festival floria kali ini juga akan mempamerkan lebih 400,000 pokok dari pelbagai spesies, kultivar bunga serta tanaman hiasan yang akan ditampilkan oleh pelbagai jabatan kerajaan, agensi, orang perseorangan termasuk dari peringkat antarabangsa.

Pengajuran Festival Floria DiRaja Putrajaya 2016 edisi ke sembilan kali ini akan menampilkan penggunaan teknologi terkini dari Eropah, di mana pengunjung akan megalami pengalaman berada di Taman Magical luar biasa melalui Hutan Mistik, Taman Kekwa, Dunia Mermaid (ikan duyung) dan halaman gula-gula (Candy Courtyard) dan banyak lagi. Teknologi inovatif ini dijangka akan membangkitkan semua lima deria iaitu penglihatan, bunyi, rasa, bau, sentuhan dan membangkitkan emosi.

Festival floria 2016 juga memperkenalkan komponen baru yang dijangka akan menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong asing tahun ini, iaitu pameran The Magic of Bonsai & Suiseki, Taman Hobi, dan pameran Terrarium Magic Tropical dalam kaca.

Apa lagi…. Jom kita bawa famili berkunjung ke festival Floria Diraja 2016 kali ini, dan jangan lupa singgah di Keajaiban Taman Kelulut Di Dunia Floria, Jabatan Pertanian. Banyak perkara menarik yang boleh dipelajari selain dari membangkitkan deria dan emosi anda dengan penglihatan, bunyi, rasa, bau serta sentuhan.

HUSAM MOHON PRESIDEN BATAL PEMECATANNYA



KOTA BHARU: Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa hari ini menghantar surat kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memohon membatalkan pemecatannya sebagai anggota parti itu.

Husam, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Salor, menerima surat pemecatan itu daripada Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS Pusat Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok Selasa lepas (24 Mei).

"Pemecatan itu tidak sah kerana tidak mengikut perlembagaan parti dan tidak mengikut lunas-lunas keadilan Islam," katanya kepada pemberita di Kota Bharu.

Husam berkata tindakan terhadapnya itu dipercayai dibuat atas alasan beliau menjadi saksi perbicaraan dalam kes membabitkan sebuah syarikat yang menentang kerajaan negeri dan dilabel sebagai cuba mensabotaj kerajaan Kelantan.

Beliau berharap surat yang dihantar kepada presiden PAS itu dapat dipertimbangkan sebelum Muktamar Tahunan PAS ke-62 selama tiga hari bermula 1 Jun ini di Kota Bharu.

Katanya, jika pemecatan itu ditarik balik, beliau akan hadir ke muktamar berkenaan sebagai Yang Dipertua PAS kawasan Kubang Kerian.

Husam berkata beliau yakin peluangnya untuk kembali ke dalam PAS adalah cerah dan akan terus melakukan kritikan sekiranya melihat ada perkara yang tidak kena dalam sistem pentadbiran kerajaan Kelantan.

RUU Hudud Hanya Untuk Umat Islam Kelantan - TPM


KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian berkaitan pelaksanaan hukum hudud hanya terpakai kepada orang Islam di Kelantan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata RUU tersebut bukan untuk mengubal undang-undang baharu tetapi berkaitan dengan kuasa-kuasa Mahkamah Syariah untuk melaksanakan hudud di negeri pimpinan PAS.

"Ia hanya untuk menaik taraf Mahkamah Syariah dan undang-undang itu hanya terpakai kepada orang Islam," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sumber Air Negara di bangunan Parlimen di sini, Khamis.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya membentangkan RUU Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 pada pagi Khamis.

Pindaan itu jika diluluskan akan membolehkan kerajaan Kelantan melaksanakan hukum hudud kecuali hukuman mati bagi mereka yang didapati bersalah di bawah undang-undang Syariah.

Usul berkenaan telah disenaraikan sebanyak dua kali sebelum ini dalam aturan mesyuarat dan akhirnya dibentangkan pada Khamis.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengambil ketetapan usul itu boleh dibentangkan berdasarkan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 14 (2)  dan 15 (1).

Usul itu diluluskan tetapi Hadi meminta perbahasan mengenai RUU itu ditangguhkan pada Oktober ini.

Ini adalah percubaan kali ketiga Hadi untuk membentangkan RUU itu di Dewan Rakyat sejak tahun lalu.

PINDAAN AKTA 355 - MP MARANG BERJAYA BENTANG


KUALA LUMPUR: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian mengenai hudud hanya akan dibahaskan di Parlimen pada Oktober depan atas permintaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hadi yang membentangkan usul tersebut di Dewan Rakyat pada pagi Khamis membuat permintaan bahawa ia akan dibahaskan pada persidangan akan datang.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman mahu mempercepatkan usul tersebut di dalam senarai  aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat.

RUU itu disenaraikan sebagai item No.15 dalam senarai aturan mesyuarat Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen pembangkang membantah usul Azalina itu dengan alasan masa tidak mencukupi telah diberikan untuk meneliti RUU tersebut.

Anthony Loke (DAP-Seremban) berkata ia adalah kali pertama RUU persendirian itu dipercepatkan dibawah Kertas Perintah untuk perbahasan.

"Ia hanya dibahaskan pada pagi tadi oleh Hadi dan dipercepatkan ke item No.15 dibawah Kertas Perintah untuk perbahasan.

"Adakah langkah pada saat akhir ini satu muslihat politik?," katanya.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia membenarkan usul itu diundi secara terbuka di Parlimen.

Selasa, 24 Mei 2016

JANGAN JADI MANGSA!



Berhati-hati dengan penipuan kewangan melalui panggilan telefon, e-mel dan SMS. Anda dinasihatkan agar tidak mendedahkan maklumat keselamatan kewangan anda kepada sesiapa sahaja dalam apa jua keadaan pun, sekiranya anda menerima panggilan telefon, SMS atau e-mel yang tidak diundang.

Lindungi diri anda dengan tidak melayan mana-mana pihak yang tidak dikenali menghubungi anda. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) menasihatkan, jika anda telah menerima permintaan seperti itu, ABAIKANNYA!

Sumber: Bank Negara Malaysia

Isnin, 23 Mei 2016

KENYATAAN MEDIA MOSTI




KENYATAAN MEDIA YBM MOSTI MENGENAI LETUSAN GUNUNG BERAPI SINABUNG DIJANGKA TIDAK MEMBERI KESAN KEPADA NEGARA

Jumaat, 20 Mei 2016

Cub Prix Pusingan 4




Cub Prix Pusingan 4 
Pasir Mas, Kelantan
cabaran dalam ujian masa
#CubPrix23

CUB PRIX BERLANGSUNG SEKARANG




Cub Prix Pusingan 4 sedang berlangsung sekarang
#CubPrix23

CUB PRIX DI PASIR MAS, KELANTAN



CUB PRIX PUSINGAN 4

BANDAR TASEK RAJA PASIR MAS KELANTAN.

20-21 MEI 2016

DATANGLAH BERAMAI RAMAI

 MASUK ADALAH PERCUMA

Khamis, 19 Mei 2016

POLIS CARI DUA INDIVIDU SUSULAN INSIDEN 'LUDAH' DURIAN DI GOMBAK



KUALA LUMPUR: Polis sedang mencari pekerja gerai
durian yang dikaitkan dengan insiden 'meludah' isi buah itu sebelum dijual kepada pelanggan di Taman Sri Gombak.

Pada masa sama, polis turut mencari pemilik akaun Facebook di mana rakaman insiden itu dimuat naik.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata siasatan awal mendapati pekerja warga Indonesia berusia sekitar 20-an itu hanya meniup serangga yang hinggap pada buah itu.

Susulan insiden kira-kira pukul 3.30 petang semalam itu, Ali berkata polis menahan pemilik gerai durian warga Indonesia berusia 53 tahun yang memiliki status pemastautin tetap di negara ini, bagi membantu siasatan.

"Gerai itu baru sahaja lima hari beroperasi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan tugasan syif bagi unit kereta peronda MPV di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini hari ini.

Mengenai akaun Facebook yang dikenali sebagai 'lonelystone cool' itu, Ali berkata polis mendapati akaun yang sebelum ini memaparkan video berdurasi satu minit dan 48 saat itu, telah dipadamkan.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang Mohamad Zin Masoad ketika dihubungi Bernama berkata gerai itu tidak mempunyai lesen dan beliau dimaklumkan ia telah ditutup setelah ditegur penduduk setempat.

Sementara itu, IPD Gombak hari ini menerima empat MPV baharu bagi menjalankan rondaan cegah jenayah di 17 sektor sekitar daerah berkenaan melalui lima syif sehari berbanding empat sebelum ini.

Serpihan Pesawat EgyptAir Ditemui Di Pulau Greece



KAHERAH: Dua serpihan besar pesawat EgyptAir yang dilaporkan terhempas di Laut Mediterranean ditemui berhampiran dengan Pulau Greece, Khamis malam.

Menurut tentera Greece, serpihan pesawat Airbus A320 Penerbangan 804 yang membawa 66 orang termasuk 10 anak kapal ditemui oleh pasukan mencari dan penyelamat (SAR) dilihat terapung di lautan, kira-kira 370 kilometer dari selatan Pulau Crete.

Sebelum penemuan ini, Menteri Pertahanan Greece, Panos Kammenos berkata, pesawat itu 'tiba-tiba membelok' ketika di tengah udara dengan kelajuan 90 darjah ke kiri, kemudian 360 darjah ke kanan sebelum terhempas.

Manakala Menteri Penerbangan Awam Mesir,  Sherif Fathi turut berkata,  punca nahas ini kemungkinan besar disebabkan serangan pengganas berbanding masalah teknikal.

Pesawat EgyptAir membawa 30 rakyat Mesir, 15 Perancis, dua Iraq dan masing-masing seorang dari Algeria, Britain, Belgium, Kanada, Chad, Kuwait, Portugal, Arab Saudi dan Sudan.

Juruterbang pesawat itu tidak membuat sebarang panggilan kecemasan dengan perhubungan terakhir dengan pesawat itu ialah 10 minit sebelum hilang dari radar.

Pesawat terbabit terbang pada ketinggian 11,280 meter, hilang kira-kira 130 kilometer sebelum ia memasuki ruang angkasa Mesir.

PESAWAT EGYPTAIR DIPERCAYAI TERHEMPAS KE DALAM LAUT


KAHERAH: Sebuah pesawat EgyptAir yang membawa 66 penumpang dan anak kapal yang hilang dipercayai terhempas ke dalam laut, kata pegawai dari syarikat penerbangan dan Jabatan Penerbangan Awam Mesir pada Khamis.

Pesawat Airbus A320 yang berlepas dari Paris menuju ke Kaherah itu dilaporkan hilang dari radar ketika berada di atas Laut Mediterranean.

Akhbar Mesir, Ahram melaporkan bahawa tiada sebarang panggilan kecemasan diterima daripada pesawat itu dan kali terakhir berhubung dengan juruterbang kira-kira 10 minit sebelum pesawat itu hilang.

Menurut EgyptAir, pesawat tersebut yang berada pada kedudukan 37,000 kaki hilang kira-kira pukul 2.45 pagi, 20 minit sebelum dijadualkan mendarat pada pukul 3.05 pagi selepas memasuki ruang udara Mesir.

Juruterbang yang mengendalikan pesawat itu merekodkan 6,275 jam pengalaman penerbangan termasuk  2,101 jam menggunakan pesawat Airbus A320 manakala pembantu juruterbang merekodkan 2,766 jam pengalaman penerbangan.

Menurut flightradar24.com, kedudukan pesawat yang berusia 12 tahun itu kali terakhir diketahui di atas Laut Mediterranean.

CUB PRIX PUSINGAN 4 - PASIR MAS KELANTAN


Cub Prix Pusingan 4
 Bandar Tasek Raja, Pasir Mas, Kelantan.
20-21 Mei.
Masuk Percuma!

FAM NAFI DAKWAAN ANNUAR, KAFA BOLEH DITOLAK MATA


PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa bahawa badan induk bola sepak negara itu tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan mengenai isu tunggakan gaji membabitkan Kafa.
Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata FAM sentiasa membantu mana-mana pasukan termasuk Kelantan, yang bergelut dengan masalah kewangan, setakat yang mampu.
"Saya rasa beliau (Annuar) tidak betul...saya secara peribadi telah berbincang dengan (Setiausaha Agung Kafa) Datuk Ismail Md Noor dan (Naib Presiden Kafa) Datuk Rosmadi Ismail beberapa kali, daripada mula untuk selesaikan isu ini.
"Malah, saya sendiri yang telefon dan pernah bertemu mereka satu atau dua kali di FAM...tetapi saya sentiasa menghubungi mereka dari semasa ke semasa," katanya pada sidang media bulanan FAM di Wisma FAM, di sini, Rabu.
Beliau mengulas kenyataan Annuar pada Khamis lepas, yang berkata FAM dan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) perlu duduk berbincang mengenai isu tersebut selepas FMLLP mencadangkan tindakan tegas terhadap Kafa, termasuk menolak mata dan disingkirkan daripada Liga Super sekiranya masih gagal melunaskan tunggakan gaji.
Hamidin menjelaskan Jawatankuasa Tatatertib FAM boleh mengambil beberapa tindakan seperti memotong mata liga, menahan pendaftaran pemain baharu semasa jendela perpindahan, mengenakan hukuman kewangan, diturunkan ke divisyen bawah, dan akhirnya tidak disenaraikan dalam saingan liga musim akan datang, jika pasukan itu masih gagal menjelaskan hutang itu.
Isu gaji lima bekas pemain tempatan pasukan itu akan dibawa ke Jawatankuasa Status FAM dalam masa terdekat, manakala bagi kes bekas pemain import dari Brazil, Gilmar Jose Dos Santos Filho yang telahpun dibincangkan jawatankuasa itu, akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib, katanya.
"Kafa masih mempunyai hutang US$89,000 (RM357,820) dan RM3,000 (penalti) kepada Gilmar yang kini bermain untuk Sarawak selain hutang sebanyak RM165,000 kepada bekas jurulatih Steve Darby.
"KAFA membuat rayuan untuk kes Gilmar sehingga 30 April selepas gagal bayar pada 15 April, namun sehingga kini masih belum menyelesaikan bayaran. Dalam kes pemain tempatan, Kafa bersetuju membayar secara bulanan, hanya bayar untuk Mac dan masih belum bayar untuk April," katanya.
Lima pemain berkenaan ialah Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan, Muhammad Nazri Ahmad, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Fitri Omar yang menamatkan kontrak mereka bersama Kafa untuk menyertai pasukan lain musim ini.
Dalam perkembangan lain, Hamidin berkata nasib enam bekas pemain yang masih digantung daripada terlibat dalam mana-mana aktiviti bola sepak akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Integriti, selepas merujuk kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
FAM sebelum ini membebaskan 78 daripada 84 bekas pemain kerana terbabit dalam kes rasuah bola sepak negara, setelah mereka membuat rayuan untuk ditamatkan tempoh penggantungan, kecuali enam pemain terbabit.
Mereka ialah Matlan Marjan, Matusin Bowie, Junaidy Tuah, Gerard Mojiliu, G. Raveychandran dan Charles Tindi dari Sabah, yang didapati bersalah kerana terlibat mengatur perlawanan, sekali gus tidak dibenar melibatkan diri dalam mana-mana aktiviti bola sepak di peringkat negeri dan FAM.

VIDA KENAL PASTI EMPAT PEMAIN IMPORT


PETALING JAYA: Empat pemain import baharu kini berada dalam radar pasukan Kelantan untuk meneruskan saingan Liga Malaysia di bawah kendalian jurulatih baharunya iaitu Velizar Emilov Popov.
Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Dr Vida berkata beliau berhasrat membawa masuk keempat-empat awang import itu pada jendela perpindahan yang akan dibuka bulan depan.
"Saya sudah kenal pasti empat pemain melalui beberapa individu yang arif dalam pemilihan pemain import bagi memperkuat skuad Kijang untuk saingan Liga Malaysia musim ini.
"Keempat-empat pemain ini diintai tanpa melalui ejen dan saya percaya kosnya lebih murah berbanding proses untuk mendapatkan pemain import sebelum ini," katanya ketika dihubungi mStar Online.
Vida berkata keempat-empat pemain itu dipercayai berasal dari Portugal dan Australia.
"Salah seorang daripadanya pernah beraksi bersama akademi remaja FC Porto dan pernah tersenarai dalam skuad Australia Bawah-23 tahun," katanya.
Beliau berkata senarai pemain import itu turut dicadangkan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tetapi segalanya bergantung kepada persetujuan ketua jurulatihnya.
"Ini antara pemain import pilihan saya, tapi saya terpaksa akur jika ketua jurulatih ada pilihannya sendiri. Kita tunggu pengumuman mengenai perkara ini dalam masa terdekat," katanya.
Ditanya mengenai pemilihan Popov, Vida berkata beliau yakin bekas jurulatih kebangsaan Maldives itu akan membantu Kelantan menduduki kelompok empat pasukan terbaik Liga Super musim ini selain menggembalikan era kegemilangan pasukan pada 2012.
"Saya harap Popov dapat menaikkan semula nama Kelantan yang berdepan prestasi tidak menentu sebelum ini. Berbekalkan pengalaman yang dimilikinya saya menganggap dia sebagai pilihan tepat untuk menggantikan K Devan," katanya.
Jelas Vida, meskipun seri tanpa jaringan ketika bertemu Selangor malam semalam (Rabu) masih terlalu awal untuk menilai prestasi Popov kerana percaya dia memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan pasukan.
"Beri dia masa, kita tengok beberapa perlawanan yang akan datang. Apa yang penting penyokong teruskan beri sokongan tanpa kira jatuh bangun pasukan sebagaimana dilakukan pasukan Eropah," katanya.

FELDA UNITED FC KEKAL TERAJUI LIGA SUPER


KUALA LUMPUR: Felda United FC mengekalkan kedudukan teratas Liga Super selepas menang tipis 2-1 ke atas Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, Rabu malam.

Kemenangan kesembilan yang diraih skuad 'The Fighters' menyaksikan mereka terikat 27 mata dengan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT), namun berada di puncak liga menerusi kelebihan jaringan.

Pada aksi malam ini, Felda United selesa mendahului 2-0 menerusi gol Francis Forkey Doe pada minit ke-31 dan Muhammad Hadin Azman pada minit ke-60 sebelum Reinaldo Lobo mengurangkan defisit jaringan setelah menyempurnakan sepakan penalti pada penghujung perlawanan.

JDT yang masih segar dengan kejayaan menjulang Piala FA Sabtu lepas, mengekalkan rekod cemerlang di laman sendiri setelah menewaskan Pahang FC 3-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Mohd Amirulhadi Zainal membuka tirai jaringan untuk skuad Harimau Selatan pada minit ke-54 sebelum penyerang import dari Argentina, Juan Martin Lucero menjaringkan dua gol iaitu menerusi sepakan penalti minit ke-62 dan gol padang, selang dua minit kemudian.

Kedah pula kembali meraih kemenangan setelah menundukkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar hasil jaringan penyerang import dari Brazil, Carlos Eduardo pada minit pertama dan minit ke-20.

Di Stadium Shah Alam, Selangor gagal memanfaatkan kelebihan selepas lawan bermain dengan 10 pemain sejak pertengahan babak pertama, apabila seri tanpa jaringan ketika menentang Kelantan.

Pasukan pelawat sebelum itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pengadil, Syed Razak Syed Kamal melayangkan kad merah kepada Wan Zack Haikal Wan Nor kerana menyiku R. Gopinathan pada minit ke-26.

Dalam pertemuan 'abang-adik' di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu FA dan Terengganu FC II masing-masing meraih satu mata setelah seri tanpa jaringan.

Dalam pada itu, Sarawak mengesahkan slot ke saingan Piala Malaysia setelah menang tipis 3-2 ke atas Perak di Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching.

Tiga gol skuad 'Ngap Sayot' dijaringkan Ndumba Makeche pada minit ke-10 dan Gilmar Da Silva pada minit ke-48 dan 80.

Perak meraih jaringan menerusi sentuhan penyudah Mohamad Fazrul Hazli pada minit ke-25 dan sepakan penalti yang disempurnakan Elias Fernandes pada minit ke-70.

BAS TOK GAJAH DICONTENG


JOHOR BAHRU: Bas yang membawa pemain bola sepak Pahang sempena perlawanan Liga Super malam ini, diconteng dalam kejadian di hotel di sini.

Kejadian yang dipercayai dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu disedari seorang pegawai daripada pasukan itu 8.30 pagi tadi.

Bas yang berada di tempat letak kenderaan dtr hotel berkenaan sejak petang semalam didapati diconteng dipercayai menggunakan semburan cat putih.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh mengesahkan pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian terbabit, pagi tadi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan bencana.

Pahang akan bertemu pasukan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) dalam perlawanan di Stadium Larkin, malam ini.

Rabu, 18 Mei 2016

ANAK MUDA YANG MATI



 10 tahun dahulu, bila Pakatan Rakyat berjaya ditubuhkan dengan pengabungan 3 parti utama selepas era reformasi oleh Anwar Ibrahim merupakan puncak yang juga pencapaian terbaik bagi pembangkang di Malaysia.

Semua orang hampir bernafas dengan selesa untuk pengabungan ini. Barisan Nasional dilihat kehilangan tongkat yang sangat kukuh bila masyarakat utama negara bergabung.

Sayangnya ia tidak kekal dan merundum sesenangnya bila semua ahli gabungan ini hampir mencapai ranum. Saya menjangkakan keranumannya benar-benar dipuncak bila Barisan Nasional jatuh terkujur.

Namun parti bikinan British ini cukup bisa untuk jatuh secara total. Walaupun elemen kejatuhannya hampir cukup tapi tidak semudah itu mereka rebah.

Deruman anak muda yang "agak" menyokong pakatan rakyat ketika itu juga tidak mampu mengubah apa-apa. Malah kini anak muda yang dahulunya cukup bersungguh kini layu dan lesu.

Kelayuan dan kelesuan ini memerlukan ubat yang terajaib untuk disembuhkan kembali.

Pilihanraya Sarawak yang memenangkan Barisan Nasional dengan begitu selesa mematikan terus dobrak anak muda kini.

Saya yang membesar di era reformasi dan "kecantikan" era dobrak anak muda kini masih menantikan era baru politik. Saya yakin ia akan berkembang kembali.

Walaupun ia seakan semakin rusuh namun saya percaya ia tidak mati. Kekangan dan tekanan bisa menjadikan ia bangkit kembali. Carilah penawarnya nanti.

Di mana dan bila saya pun tidak mengetahuinya. Yang pastinya bukan kini. Anak muda sudah hampir letih. Peluru dan bidikan mereka dihalakan kesemua arah tanpa mengenal musuh dan rakan taulan.

Akhirnya anak muda kini kembali menjadi tepu. Mereka mula membuang jeans lusuh dan memakai kemeja dan tie untuk kembali menjadi pencari duniawi. Tiada lagi kebanggan menjadi pejuang menentang kezaliman.

-thehjOsaMa-

LELAKI MAUT MOTOSIKAL BERTEMBUNG LORI


GEORGETOWN: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Paya Terubong, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, Iskandar Ahmad, 46, yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Balik Pulau, dikatakan gagal memotong sebuah kenderaan di laluan berbukit menyebabkan dia dilanggar lori.

Jurucakap polis berkata, lori berkenaan sedang menuruni bukit sebelum motosikal ditunggang mangsa masuk ke laluan bertentangan menyebabkan pemandu lori gagal mengelak.

"Motosikal yang ditunggang mangsa merempuh lori selepas gagal memotong kenderaan di hadapannya.

"Akibat perlanggaran itu mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan serta meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian petang tadi.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

MALAYSIA SIAP SEDIA HADAPI LAWAN SUKU AKHIR



KUNSHAN: Selepas mengesahkan tiket ke suku akhir Piala Thomas sebagai juara Kumpulan C, skuad negara kini hanya menunggu siapa lawan yang akan ditentang mereka Khamis ini.

Bagi pemain perseorangan kedua negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, siapa pun lawan yang akan ditentang, skuad negara sudah bersedia menghadapi mereka.

Malah, Iskandar mengakui beliau kini semakin teruja menghadapi saingan Piala Thomas yang semakin mencabar, selepas sekadar menjadi rakan sparring pada edisi 2014 di India.

Pemain berusia 24 tahun itu berjaya menyumbang mata berharga kepada skuad negara apabila diturunkan menentang Jerman, semalam dan Korea Selatan hari ini.

"Memang Chong Wei (Datuk Lee Chong Wei) ada cakap mata yang dikutip saya hari ini adalah penting untuk negara. Saya anggap ini sebagai satu cabaran untuk saya lebih maju lagi," katanya.

Iskandar, pemain ranking ke-36 dunia, menyumbang mata kedua negara ketika menentang Korea Selatan, untuk mendahului 2-1 apabila menewaskan pemain nombor 16 dunia, Lee Dong Keun 21-17, 21-15 selepas gandingan Goh V Shem/Koo Kien Keat tewas kepada pasangan nombor satu dunia Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong.

Mata kemenangan skuad negara disumbang Chong Wei Feng yang menundukkan Jeon Hyeok Jin 21-16, 21-16 selepas Tan Boon Heong-Tan Wee Kiong gagal mengutip mata kemenangan apabila tewas kepada Kim Gi Jung-Kim Sa Rang 14-21, 22-24 bagi membolehkan Korea mengikat kedudukan 2-2.

Malaysia mengutip mata pertama menerusi Chong Wei yang menundukkan 21-18, 21-15, sekali gus kesemua mata dalam pertemuan dengan Korea Selatan datangnya daripada pemain perseorangan.

Kemenangan itu juga bererti sebagai juara kumpulan, skuad negara berjaya mengelak pertembungan dengan juara kumpulan lain di suku akhir, apabila undian dilakukan esok.

Sementara itu, Tan Boon Heong yang gandingan bersama Koo Keien Keat dipisahkan dalam perlawanan menentang Korea Selatan berkata, nasib tidak menyebelahinya bersama Tan Wee Kiong kerana masih belum menemui rentak permainan yang sebenar.

"Saya sedia jika dipisahkan lagi. Hari ini, saya melakukan banyak kesilapan dan saya akui ia salah sendiri kerana masih belum dapat rentak," katanya.

-- BERNAMA

BN TELITI CALON SESUAI UNTUK PRK KUALA KANGSAR DAN SUNGAI BESAR - NAJIB


LONDON: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional sedang meneliti calon paling sesuai bagi pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak.

Calon berkenaan, kata perdana menteri, perlu diteliti daripada semua aspek supaya individu yang dipilih itu kelak bukan sahaja diterima oleh parti tetapi juga oleh pengundi secara keseluruhan.

Perdana menteri berkata demikian pada sidang media malam tadi yang mengakhiri lawatan kerja beliau ke United Kingdom.

Beliau dijangka berlepas pada pagi Rabu ke Sochi, Rusia untuk menghadiri Sidang Kemuncak Rusia-ASEAN selama dua hari.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata beliau telah memberi panduan kepada parti berkaitan persiapan untuk menghadapi dua pilihan raya kecil itu.

"Saya sudah memberi panduan kepada parti melalui Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden...mereka sedang melakukan persiapan melalui kursus-kursus dan sebagainya," katanya.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Jumaat lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun ini manakala penamaan calonnya pada 5 Jun.

-- BERNAMA

Selasa, 17 Mei 2016

OKU DIJATUHKAN HUKUMAN PENJARA


BACHOK: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dijatuhi hukuman penjara 32 bulan dan lima sebatan oleh Mahkamah Majistret Bachok, di sini, hari ini atas tuduhan memukau dan mencabul dua mangsa, awal bulan lalu.
  Majistret Azem Fatihi Kamal menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Che Mohd Shamsul Che Ab Rahman, 36, yang mengaku bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
  Bagi tuduhan pertama, lelaki itu dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan dua sebatan. Tuduhan kedua, dia dihukum penjara 24 bulan dan tiga sebatan. Azem Fatihi mengarahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula hari ini.
  Mengikut pertuduhan, penganggur berkenaan didakwa mencabul kehormatan dua mangsa berusia 18 tahun dalam kejadian berasingan di Jalan Kemudi dan Beris Lalang, Jelawat di Bachok masing-masing di antara jam 6.30 petang hingga 8.30 malam, 2 Mei 2016 dan 8.30 malam hingga 5 pagi, 3 Mei 2016.
  Fakta kes, lelaki itu minta wang RM2 daripada mangsa dan membacakan ayat sebelum menyerahkan kembali wang itu kepada wanita itu hingga menjadikan mangsa tidak sedar dan dipukau sebelum kehormatannya dicabul kejadian di Kampung Kemudi.
  Kes kedua, tertuduh pergi ke rumah mangsa dan mengaku sebagai bomoh dan minta barang untuk tujuan perbomohan iaitu kelapa parut, belacan dan pewangi ketiak serta membakarnya di dalam dulang. Sisa pembakaran disapu ke muka mangsa dan menjadikan wanita itu tidak sedar dipukau sebelum dicabul kejadian di Beris Lalang, Jelawat.


TIGA MAUT KERETA DIREMPUH TRELER



IPOH: Tiga maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta dinaiki dirempuh treler di Jalan Lahat-Simpang Pulai dekat Kampung Kepayang di sini, hari ini.

Dalam kejadian 1.04 petang itu, keempat-empat mangsa yang menaiki kereta dipercayai dalam perjalanan dari Puchong ke Sitiawan ketika kejadian berlaku.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Abd Razak Shaari berkata,dtr pihaknya bergegas ke lokasi kejadian pada 1.10 petang selepas menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, pihaknya mendapati semua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing sebelum bertindak mengeluarkan mangsa.

"Pasukan perubatan bagaimanapun mengesahkan dua mangsa perempuan dan seorang mangsa lelaki meninggal dunia di lokasi kejadian. "Manakala seorang lagi lelaki parah," katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya, tiga mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

PENIAGA DALAM TALIAN MUNGKIN KENA CUKAI TAHUN DEPAN



KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan sedang mengkaji kemungkinan untuk mengenakan cukai ke atas perniagaan dalam talian pada tahun depan, sejajar kepesatan perkembangan sektor berasaskan internet di negara ini.

Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata kementerian sudah mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melakukan kajian terperinci mengenai perkara itu.

Malah, katanya, pihak LHDN sudah menubuhkan Bahagian Perniagaan dan Perdagangan Dalam Talian, turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi tujuan itu.

"Kita perlu mengenakan cukai terhadap mereka yang memperoleh pendapatan boleh dicukai.

Jika tidak, ia hanya menyebabkan kerugian kepada kerajaan yang kehilangan hasil ketika semakin banyak syarikat perniagaan beralih kepada ekonomi digital," katanya.