Ahad, 15 Mei 2016

ALLAHYARHAM MURABBI UMMAH, GURU KEPADA SEMUA RAKYAT MALAYSIA, SELAMAT HARI GURU.



Dilahirkan pada hari Sabtu 10 Januari 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, beliau merupakan anak kedua daripada sembilan orang adik-beradik. Hasil perkongsian hidup dengan isterinya, Tuan Sabariah binti Tuan Ishak, mereka dikurniakan 10 orang cahaya mata (5 lelaki dan 5 perempuan).

Tuan Guru Nik Aziz sentiasa dikenali sebagai seorang Menteri Besar yang paling zuhud dan warak. Pada hampir setiap masa, beliau sentiasa dilihat dalam keadaan berjubah dan berserban. Beliau mengaku bersolat dalam keadaan gelap apabila berada di dalam pejabatnya kerana tidak mahu menggunakan duit kerajaan untuk kepentingan dirinya. Rumahnya pula hanyalah sebuah rumah kampung biasa seperti yang dimiliki oleh rakyat kebanyakan. Rumahnya tidak berpagar sama sekali dan tiada pengawal keselamatan yang diupah untuk menjaganya.

Sebelum menjadi Menteri Besar, beliau merupakan seorang guru agama yang aktif. Beliau pernah mengajar di Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Sekolah Menengah Agama Darul Anwar dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi yang kesemuanya terletak di Kelantan. Maka tidak hairanlah beliau lebih dikenali dengan gelaran 'Tuan Guru' atau 'Tok Guru' di kalangan rakyat Malaysia. Ketika masih sihat, beliau aktif menyebarkan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat. Hampir setiap pagi, beliau akan menjadi imam solat subuh dan kemudiannya memberikan kuliah ringkas di sebuah masjid yang terletak hanya beberapa meter sahaja dari rumahnya.

Nik Aziz mendapat pendidikan awal dari bapanya sendiri, Tuan Guru Haji Nik Mat Raja Banjar di kediamannya di Pulau Melaka. Beliau memiliki kelulusan dalam bidang Sarjana Perundangan Islam daripada Universiti al-Azhar di Mesir. Ketika belajar, beliau pernah menjadi saksi kepada Perang Arab-Israel.

Beliau juga pernah belajar di:

Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat, Kelantan (3 Bulan) – 1936

Sekolah Pondok Tok Kenali Kubang Kerian, Kelantan

Sekolah Pondok Tok Guru Haji Abbas, Besut, Terengganu

Universiti Deoband, India – 1952

Universiti Lahore, Pakistan - 1957

Universiti al-Azhar, Mesir – Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab.

Universiti al-Azhar, Mesir – Sarjana Perundangan Islam.

Beliau juga mampu berkomunikasi selain Bahasa Melayu seperti bahasa Arab, Urdu, Inggeris dan Tamil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan