Rabu, 4 Mei 2016

ANGGOTA POLIS TERHARU: PRN SARAWAK



 KOTA SAMARAHAN: Koperal Mahmud Pawi, 56, merasa terharu bila mendapati Suruhanjaya Pilihan Raya (SRP) menggadakan tempat mengundi semata-mata untuk beliau seorang, hari ini.

"Saya tidak menyangka bahawa saya hanyalah satu-satunya yang akan mengundi di sini. Ini merupakan pengalaman pertama saya, satu saluran pengundian dibuat khas hanya untuk saya," katanya kepada Bernama selepas selesai mengundi di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kota Samarahan di sini hari ini.

Mahmud yang merupakan pengundi awal untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sadong Jaya bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11, berkhidmat sebagai anggota polis selama 35 tahun, dan kini bertugas di Batalion 11, Pasukan Gerakan Am (PGA), Batu Kawah di Kuching.

Beliau berkata pengalamannya hari ini menyedarkan betapa pentingnya mengundi, walaupun hanya satu undi namun nilainya begitu bermakna dalam menentukan masa depan sesebuah kawasan dan negara.

Tambahnya, ia merupakan satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bagi memastikan hanya calon yang terbaik terpilih bagi menjadi wakil rakyat di satu-satu kawasan, dan baginya di DUN Sadong Jaya.

Selain menjadi pusat pengundian awal bagi kerusi DUN Sadong Jaya, IPD Kota Samarahan juga menjadi pusat pengundian awal untuk tiga kawasan lagi iaitu DUN Asajaya, Muara Tuang dan Stakan.

Selain IPD Kota Samarahan, terdapat dua lagi kawasan lain yang mempunyai seorang pengundi awal iaitu IPD Simunjan bagi kerusi DUN Gedong, serta Kompleks Polis Tabuan Jaya untuk kerusi DUN Demak Laut.

Anggota polis adalah antara mereka yang layak mengundi awal selain anggota tentera, isteri atau suami mereka berdasarkan peruntukan peraturan penjalanan pilihan raya (pindaan) 2012. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan