Jumaat, 27 Mei 2016

KEAJAIBAN TAMAN KELULUT DI DUNIA FLORIA



PUTRAJAYA: Festival Floria Diraja Putrajaya 2016 kembali lagi, festival tahunan bunga dan taman terbesar di Malaysia (Putrajaya) dengan resminya dibuka kepada orang ramai mulai 27 Mei 2016 bersempena musim cuti sekolah.



Magical World of Floria merupakan tema yang dipilih pada tahun ini dengan membawa bunga Kekwa atau Chrysanthemum sebagai tema bunganya. Festival yang dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya, disokong oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan diuruskan oleh Putrajaya Floria Sdn Bhd.

Bertempat di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya, festival yang akan dibuka kepada orang ramai  selama sembilan (9) hari bermula dari 27 Mei sehingga 04 Jun 2016 bermula seawal jam 8.00 pagi hingga 11.00 malam. Bayaran masuk dikenakan sebanyak RM 7.50 bagi orang dewasa dan RM 3.50 bagi kanak-kanak/warga emas/OKU.

Jabatan Pertanian seperti tahun-tahun sebelumnya tidak ketinggalan menyertai festival ini setiap kali ianya diadakan. Kali ini jabatan melalui Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur (PTIF) turut mempamerkan kehebatan dan keindahan taman yang bertemakan ‘Keajaiban Taman Kelulut Di Dunia Floria’ kepada pengunjung festival kali ini.

Pertanian Malaysia yang berperanan dalam mempergiatkan transformasi pertanian   sebagai sektor moden, dinamik dan berdaya maju secara komersial dengan membangunkan industri makanan dan bunga-bungaan bagi memastikan pengeluaran makanan adalah selamat dan mesra alam.

Taman yang mengadaptasikan konsep pertanian bandar dan laman edible ini akan memberi kesedaran kepada pengunjung bahawa penduduk bandar dan sub-bandar boleh melibatkan diri dalam sektor ini. Aktiviti-aktiviti yang dikemukakan akan membantu mereka dalam mengurangkan perbelanjaan ke atas barang makanan dan juga kos sara hidup harian. Malah penglibatan aktiviti ini dapat meningkatkan   kesihatan kesejahteraan dan seterusnya memperbaiki dan mengindahkan   pandangan landskap di kawasan kediaman, pejabat, sekolah dan institusi.

Selain dari itu konsep Keajaiban Taman Kelulut Di Dunia Floria yang dikemukakan mengabungkan trend terkini taman edible dengan mengetengahkan unsur-unsur penternakan kelulut (stingless honey bee), selaras dengan tema Magical Floria 2016 pada acara Royal Floria Putrajaya kali ini,  

Taman Keajaiban Taman Kelulut Di Dunia Floria terbahagi kepada 5 bahagian utama iaitu

i. Gerbang terowong kelulut
ii. Denai kayu Pallet
iii. Taman edible menegak
iv. Taman kelulut dan struktur sarangnya
v. Ruang penggambaran

Bermula dari gerbang terowong kelulut, pengunjung akan berjalan melalui denai   kayu pallet dan akan kelihatan koloni kelulut tenggelam di dalamnya. Taman ini akan mempamerkan ciri-ciri rekabentuk kelulut. Kesan cahaya dan bunyi di dalam terowong tersebut akan membuatkan pengunjung mengalami rasa keindahan dan   keajaiban ketika berada di dalam sarang kelulut.

Selain itu, taman ini akan memberikan pendidikan secara tidak langsung untuk kanak-kanak sekolah dan juga orang ramai secara keseluruhannya untuk mengenal pelbagai spesis tanaman edible serta pelbagai jenis koleksi tanaman bunga kekwa yang berwarna-warni selaras dengan tema tahun ini.

Pengunjung juga akan menikmati suasana ketenangan ketika berada dalam taman ciptaan kakitangan Jabatan Pertanian ini. Selain itu pengunjung dapat mengalami sendiri penyusunan madu kelulut dari hive serta duduk bersantai di ‘Bean Bags Seating’ yang telah disediakan di kawasan dek santai di tengah taman dengan suasana dan udara nyaman. Akhir sekali,pengunjung boleh merakamkan segala kenangan manis dan akan tertarik dengan konsep pembangunan taman termasuk penggunaan elemen air yang mengambarkan kolam madu kelulut (sunken fountain) yang unik.

Selain dari itu, festival floria kali ini juga akan mempamerkan lebih 400,000 pokok dari pelbagai spesies, kultivar bunga serta tanaman hiasan yang akan ditampilkan oleh pelbagai jabatan kerajaan, agensi, orang perseorangan termasuk dari peringkat antarabangsa.

Pengajuran Festival Floria DiRaja Putrajaya 2016 edisi ke sembilan kali ini akan menampilkan penggunaan teknologi terkini dari Eropah, di mana pengunjung akan megalami pengalaman berada di Taman Magical luar biasa melalui Hutan Mistik, Taman Kekwa, Dunia Mermaid (ikan duyung) dan halaman gula-gula (Candy Courtyard) dan banyak lagi. Teknologi inovatif ini dijangka akan membangkitkan semua lima deria iaitu penglihatan, bunyi, rasa, bau, sentuhan dan membangkitkan emosi.

Festival floria 2016 juga memperkenalkan komponen baru yang dijangka akan menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong asing tahun ini, iaitu pameran The Magic of Bonsai & Suiseki, Taman Hobi, dan pameran Terrarium Magic Tropical dalam kaca.

Apa lagi…. Jom kita bawa famili berkunjung ke festival Floria Diraja 2016 kali ini, dan jangan lupa singgah di Keajaiban Taman Kelulut Di Dunia Floria, Jabatan Pertanian. Banyak perkara menarik yang boleh dipelajari selain dari membangkitkan deria dan emosi anda dengan penglihatan, bunyi, rasa, bau serta sentuhan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan