Selasa, 3 Mei 2016

LELAKI TERKEJUT ULAR BERLEGAR DEPAN RUMAH



KUALA NERANG: Seorang lelaki terkejut menerima kehadiran tetamu tidak diundang selepas terdengar bunyi bising datangnya dari patukan ular tedung selar di pintu hadapan rumahnya di Kampung Nako Nambua, dekat sini, pagi tadi.

Difahamkan, lelaki berusia 50-an itu sedang bersiap untuk ke kebunnya kira-kira jam 7 pagi, sebelum keluar untuk melihat punca bunyi bising itu kerana menyangka ada orang datang ke rumahnya. Namun, mangsa terkejut sebaik ternampak ular tedung selar sepanjang lima meter sedang berlegar di pintu hadapan rumahnya. Lelaki itu kemudiannya terus menghubungi talian MERS 999 untuk mendapatkan bantuan sebelum anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Padang Terap bergegas ke rumah mangsa untuk menangkap ular seberat 15 kilogram (kg) berkenaan kerana bimbang ia akan menyelinap masuk ke tempat lain.

Ketua Skuad JPAM Padang Terap, Mohd Khairi Che Kamil, berkata melalui maklumat yang disalurkan mangsa kepada pihaknya, ular tedung itu cuba memasuki rumah berkenaan namun tidak berjaya ekoran tiada ruang kecil bagi reptilia terbabit untuk berbuat demikian.

Mohd Khairi berkata, mangsa turut bernasib baik berikutan bertindak keluar melalui pintu belakang lalu berjalan ke bahagian depan rumahnya sebelum terkejut dengan kehadiran reptilia itu.

"Rentetan itu, tiga anggota JPAM bergegas ke lokasi kejadian dan mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkap reptilia itu yang bertindak agresif dan cuba untuk melawan.

"Ular tedung selar itu mungkin tersesat atau mencari tempat perlindungan disebabkan suhu panas yang melanda sekarang dan reptilia terbabit mungkin datang dari arah parit berhampiran rumah mangsa, " katanya ketika ditemui di pejabat JPAM, di sini tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan