Isnin, 16 Mei 2016

PELUMBA MALAYSIA ZULFAHMI RAIH PODIUM PERTAMA




SEPANG: Pelumba Itali, Ayrton Badovini daripada pasukan GEMAR Ballons-Team Lorini meraih kemenangan sulung musim ini dalam kelas Supersport pada Kejuaraan Superbike Dunia - Pusingan Malaysia di Litar Sepang, hari ini.

Pelumba berusia 29 tahun itu mencatat 33 minit 22.944 saat dalam perlumbaan sebanyak 14 pusingan itu.

Sementara pelumba negara, Muhammad Zulfahmi Khairudin daripada Orelac Racing VerdNatura, yang berjaya mengawal perlumbaan selepas tiga pusingan, ketinggalan hanya 0.050s di belakang Badovini dengan catatan 33:22.994s.

Pelumba Britain, Gino Rea daripada pasukan GRT Racing Team, pula di tempat ketiga dengan masa 33:23.924s.

Namun, kejayaan Muhammad Zulfahmi meraih kemenangan podium pertama beliau pada perlumbaan itu menjadi perhatian hampir semua penonton yang hadir.

Kelas Supersport yang dijadual berlangsung pada 2.20 petang, bagaimanapun terpaksa ditunda kepada 5.15 petang, akibat hujan lebat.

"Pada awal perlumbaan, saya yakin dapat memenangi kerana 'set up' motosikal yang bagus untuk perlumbaan ini. Saya berjaya mengawal hampir keseluruhan perlumbaan, bagaimanapun pada empat pusingan terakhir, ada pelumba lain memintas saya.

"Pada pusingan terakhir, saya yakin dapat memintas kembali dia (Badovini) pada selekoh terakhir. Tapi bila sampai di selekoh akhir, saya terlebih melakukan brek dan tidak boleh terus memecut dengan baik," kata pelumba berusia 24 tahun dari Banting, Selangor itu.

Walaupun sedikit kecewa kerana gagal memenangi perlumbaan di gelanggang sendiri, beliau gembira dengan prestasinya yang semakin meningkat.

"Untuk perlumbaan seterusnya, saya berharap dapat memahami keadaan trek dengan cepat. Saya akan cuba yang terbaik (mencatat masa terbaik dalam sesi latihan bebas) untuk terus bersaing dalam Superpole 2 untuk sekali lagi mendapat kedudukan yang baik," katanya.

Kejuaraan Superbike Dunia seterusnya akan berlangsung di Litar Donington Park, United Kingdom pada 27 hingga 29 Mei ini.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan