Ahad, 8 Mei 2016

PERBADANAN PUTRAJAYA JALANKAN KAJIAN BANJIR KILAT DI PUTRAJAYA



PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) sedang menjalankan kajian menyeluruh untuk mengetahui kenapa dan bagaimana banjir kilat berlaku di sekitar Putrajaya ekoran hujan lebat sejak 6 petang semalam.

Naib Presiden Perancangan Bandar PPj Datuk Fadlun Mak Ujud berkata laporan penuh mengenai sistem perparitan serta saliran dan punca banjir akan diumumkan minggu ini.

"Pasukan khas perbadanan itu sedang menjalankan kajian dari segi teknikal untuk mengenal pasti kejadian banjir. Hasil kajian itu akan diumumkan oleh Presiden PPj Datuk Seri Hasim Ismail.



"Tunggulah laporan kajian itu yang akan dikeluarkan minggu ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan memancing ikan Putrajaya 2016 di sisiran tasik Presint 4 di sini hari ini.

Fadlun berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian banjir yang berlaku di sekitar Presint 3 dan Presint 4 di sini semalam.

Beliau juga enggan mengulas ketika ditanya sama ada banjir kilat yang berlaku semalam merupakan kejadian pertama di Putrajaya serta kawasan-kawasan yang dinaiki air.

Hujan lebat hampir dua jam sejak 6 petang semalam menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin menghala ke Dataran Gemilang, di Presint 3 dan Presint 4 di sini.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya Muhamad Hafidz Yaacob dua buah kenderaan dilaporkan terperangkap dalam banjir kilat itu namun tiada mangsa dalam kenderaan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Alam Sekitar Tasik dan Wetland Ahmad Zubir Sapian berkata seramai 2,211 peserta termasuk lima warga asing menyertai pertandingan memancing yang bermula pada 7.30 pagi hingga 12 tengah hari tadi.

Pertandingan ini dimenangi kontraktor Mummad Sukiman dari Kampung Dato Abu Bakar Baginda di Kajang, yang berjaya menaikkan ikan baung seberat 2.445 kilogram kira-kira 7.35 pagi, selepas lima minit pertandingan itu dimulakan.

Muhammad, 40, berkata beliau tidak menyangka percubaan pertama kali menyertai pertandingan memancing membuahkan hasil lumayan apabila diumumkan sebagai johan untuk membawa pulang hadiah utama RM7,000 di sini.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan