Jumaat, 27 Mei 2016

PERTANIAN LESTARI TANPA RACUN - CAP


GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dengan kerjasama Jabatan Pertanian telah mengadakan program ‘Pertanian Lestari Tanpa Racun’ diperkarangan Pejabat Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Jalan Masjid Negeri, Jelutong, Pulau Pinang. Program ini merupakan inisiatif persatuan tersebut dalam mempromosikan pertanian asli atau pertanian organik tanpa menggunakan racun kimia dengan mengamalkan konsep pertanian bandar.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang adalah persatuan yang memperjuangkan hak pengguna dari semua aspek kepenggunaan. Persatuan ini telah ditubuhkan sejak 40 tahun dahulu dan telah menjalankan pelbagai aktiviti dalam usaha mempertingkatkan kualiti hidup dan kesihatan pengguna.

Dalam usaha untuk menyedarkan para pengguna mengenai bahaya penggunaan bahan-bahan kimia yang merbahaya dalam makanan dan produk pertanian, CAP telah mengorak satu langkah ke hadapan dengan membangunkan kebun pertanian asli di atas tanah seluas ¾ hektar di halaman pejabat CAP. Di kebun ini, CAP telah mengamalkan pertanian organik tanpa menggunakan sebarang racun dan bahan kimia. Tujuannya adalah untuk memberi pendidikan dan pengajaran kepada pelbagai lapisan masyarakat seperti guru-guru, pelajar sekolah, pelajar institut pengajian tinggi, suri rumah tangga, penghuni pangsapuri dan juga badan-badan swasta berkenaan kaedah pertanian asli atau organik.

Hasil daripada usaha ini, pihak CAP telah bercadang untuk mengadakan satu program yang bertujuan untuk mengumpulkan golongan sasar ini bagi mempromosikan kebun pertanian asli CAP supaya ia dapat memberi dorongan kepada masyarakat awam untuk menanam sendiri dengan mengamalkan pertanian asli. Daripada cadangan itu, CAP telah mengadakan program “Pertanian Lestari Tanpa Racun” dan telah dirasmikan oleh Ybhg. Dato’ Ahmad Zakaria bin Mohamad Sidek, Ketua Pengarah Pertanian Malaysia.

Dalam ucapan perasmiannya, Ybhg Dato’ Ahmad Zakaria menyatakan bahawa Jabatan Pertanian sangat mengalu-alukan dan menyokong penuh usaha CAP dan juga pihak-pihak swasta lain yang ingin membangunkan kebun pertanian yang mengamalkan konsep ‘natural farming’. Ia adalah selari dengan program pertanian bandar yang sedang giat dipromosikan oleh Jabatan Pertanian. Ybhg Dato’ juga mencadangkan supaya kebun pertanian asli CAP ini mendapatkan pensijilan myOrganic daripada Jabatan Pertanian.

Sumber: FB Jabatan Pertanian

Berita/Foto: Mohd Azhrulnoor Bin Ab Manaf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan