Rabu, 11 Mei 2016

PRN Sarawak Pengajaran Untuk Pembangkang - Azmin


PETALING JAYA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak seharusnya memberi pengajaran kepada pembangkang, kata Datuk Seri Azmin Ali.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat biro politik PKR pada Selasa malam, timbalan presiden parti itu berkata sudah tiba masanya untuk pembangkang mendengar suara rakyat.

"Saya fikir kita seharusnya belajar daripada pengalaman di Sarawak. Anda tahu apa yang berlaku di sana dan kini kita perlu mendengar suara rakyat dan cuba memahami sentimen di bawah," katanya sambil menambah bahawa PKR telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji prestasi parti itu di Sarawak.

"Kami berikan mereka masa selama sebulan untuk buat kesimpulan mengenainya," katanya.

Pada PRN Sawawak 7 Mei lalu, PKR bertanding di 40 kerusi namun hanya berjaya memenangi tiga kerusi iaitu Ba'kelalan, Kerian dan Batu Kitang.

Secara keseluruhannya pembangkang yang bertanding di 80 kerusi hanya berjaya memenangi 10 kawasan iaitu tiga milik PKR dan tujuh dimenangi DAP.

Azmin yang juga Menteri Besar Selangor menambah bahawa adalah mustahil untuk membuat perubahan yang berkesan jika pembangkang tidak teratur.

"Semua parti politik, bukan sahaja PAS atau Amanah (Parti Amanah Negara), DAP atau Keadilan (PKR)...kita perlu duduk berbincang dan melihat bagaimana kita boleh bekerja bersama-sama untuk membuat perubahan ini untuk PRU-14," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas sama ada PKR akan bekerjasama dengan PAS atau menerima jemputan parti itu untuk menyertai "kuasa ketiga" bersama-sama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia.

Berhubung dengan pilihan raya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, Azmin berkata, PKR masih belum membuat apa-apa keputusan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan