Selasa, 17 Mei 2016

SUHAKAM RANGKA KOD ETIKA BIMBING MEDIA MENGENAI HAK ASASI MANUSIA



KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bersama-sama sekumpulan profesional media berpengalaman telah merangka satu kod etika bagi membimbing pengamal media berhubung isu-isu hak asasi manusia.

Setiausaha Suhakam Rodziah Abdul berkata dokumen berkaitan kod etika itu telah dikemukakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan.

"Kami berharap kementerian berkenaan dapat mengguna pakai kod etika ini bagi menggalakkan laporan media yang mengandungi maklumat lengkap, adil dan tepat serta mematuhi standard tatalaku tertentu.

"Pematuhan kod etika tertentu adalah penting bagi memastikan profesionalisme dalam laporan media,"katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Serantau mengenai Media dan Hak Asasi Manusia ASEAN di sini, hari ini.

Forum itu dianjurkan bersama oleh Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dan Kementerian Luar. Ia turut disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Suhakam, Instrumen Dialog EU-ASEAN Serantau (READI) dan Kemudahan Hak Asasi Manusia.

Rodziah turut menarik perhatian bahawa liputan media terhadap perkara yang berkaitan dengan hak asasi manusia adalah agak terhad di Malaysia.

Malah, katanya kandungan kenyataan yang dikeluarkan Suhakam ada kalanya tidak disiarkan sepenuhnya oleh media.

Beliau berkata isu-isu hak asasi manusia kurang diberi liputan kerana pengamal media negara ini mempunyai pengetahuan dan pemahaman yang terhad tentang perkara itu.

Sementara itu, Wakil Malaysia Ke AICHR Edmund Bon Tai Soon meminta pengamal media supaya menetapkan pendirian terhadap diskriminasi yang dilakukan ke atas kumpulan lemah dan terpinggir seperti yang ditekankan dalam Perkara Empat Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN 2012.

"Perkara Empat menyatakan hak-hak wanita, kanak-kanak, orang tua, orang kurang upaya, pekerja asing dan kumpulan lemah dan terpinggir merupakan bahagian hak asasi manusia dan asas kebebasan yang tidak terpisah, penting dan tidak boleh dibahagikan,"katanya.

Beliau menegaskan laporan yang baik memudahkan perlindungan khas diberikan kepada kumpulan terpinggir yang layak, sebaliknya laporan buruk boleh membawa persepsi negatif terhadap kumpulan itu.

Mengenai forum berkenaan, Bon berkata Forum Serantau itu bertujuan memberi pemahaman dan pendedahan mengenai profesionalisme dan etika dalam pelaporan serta instrumen hak asasi manusia serantau (ASEAN) dan antarabangsa yang berkaitan dengan tugas pengamal media.

Kira-kira 100 peserta dari negara-negara anggota ASEAN mengambil bahagian dalam forum dua hari itu yang bermula hari ini.

Mereka termasuklah wakil-wakil AICHR, agensi kerajaan berkenaan, pengamal media, ahli akademik dan pakar-pakar hak asasi manusia dari negara-negara ASEAN yang berkongsi pandangan dan kepakaran mengenai pembangunan mekanisme dan isu-isu hak asasi manusia di ASEAN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan