Khamis, 6 Oktober 2016

WARGA EMAS MAUT RUMAH DIREMPUH KERETA


 BUTTERWORTH: Seorang lelaki yang sedang tidur di ruang tamu rumahnya, maut apabila sebuah pacuan empat roda merempuh kediaman lelaki itu di Permatang Pasir di sini, Rabu malam.

Ketika kejadian pada 10.45 malam itu, Mat Rasid Mat Sharif, 67, tidur di sofa di ruang tamu tingkat bawah, rumah dua tingkat itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, rempuhan kereta jenis Suzuki yang dipercayai dipandu laju itu menyebabkan dinding batu bahagian bawah rumah berkenaan runtuh dan menghempap lelaki yang sedang tidur itu.

“Kereta dipandu lelaki berusia 53 tahun itu dilapor melanggar sebuah kereta lain sebelum merempuh rumah berkenaan,” katanya di sini, Khamis.

Beliau berkata, Mat Rasid yang masih bujang itu tinggal dengan beberapa anggota keluarganya di rumah berkenaan.

Mayat Mat Rasid dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan polis telah mengambil keterangan serta sampel darah pemandu kereta terbabit bagi membantu siasatan. –

Tiada ulasan:

Catat Ulasan