Sabtu, 26 November 2016

PENUNGGANG MOTOSIKAL CEDERA AKIBAT TANAH RUNTUH DI SERENDAH


HULU SELANGOR: Seorang penunggang motosikal cedera apabila jalan yang dilaluinya di Taman Idaman, Serendah, runtuh awal pagi ini.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Fareez, 21, dilaporkan patah kaki dan tangan dikatakan dalam perjalanan untuk pulang ke rumahnya dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi itu.

Dia yang tertimbus dalam runtuhan berkenaan bagaimanapun berjaya diselamatkan penduduk berhampiran yang menyedari insiden terbabit.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Sani Harul, berkata pihaknya yang dimaklumkan mengenai kejadian pada jam 1.02 pagi, tiba di lokasi kira-kira 16 minit kemudian.

"Maklumat awal menyatakan terdapat seorang mangsa dalam kejadian ini, namun kita tetap menjalankan operasi mencari sekiranya ada lagi mangsa lain.

Operasi turut dibantu anjing pengesan sebelum disahkan tiada mangsa lain terbabit," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, sehingga jam 4 pagi tadi, tiada mana-mana waris membuat laporan polis mengenai kehilangan ahli keluarga.

"Demi keselamatan, kami turut meminta penduduk dua rumah berhampiran berpindah sementara waktu.

Kajian turut dilakukan bagi mengenalpasti tahap keselamatan tanah di kawasan ini," katanya.

Sekurang-kurangnya enam kereta, dua motosikal dan sebuah van milik penduduk taman itu turut tertimbus dalam runtuhan.

Runtuhan sepanjang hampir 100 meter dari kawasan rumah teres sehingga ke bekas lombong itu turut meranapkan tujuh unit kedai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan