Selasa, 20 Disember 2016

FBT Teruskan Sokongan Jangka Panjang untuk Sukan SEA


KUALA LUMPUR: Sekretariat Kuala Lumpur 2017 (Malaysian Organising Committee, MASOC) berjaya meraih satu lagi penajaan apabila FOOTBALL THAI FACTORY SPORTING GOODS CO. LTD (FBT), yang telah dari dahulu lagi menyokong temasya sukan ini, bersetuju menjadi penaja Platinum untuk Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 (Kuala Lumpur 2017) dalam majlis yang diadakan di Putrajaya, pada Selasa, 15hb November 2016.

Kerjasama ini dimeterai dengan majlis menandatangani perjanjian yang dihadiri oleh YB Brig. Jen. Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan; Dato’ Seri Zolkples Embong, Ketua Pegawai Eksekutif MASOC; Puan Phaveena Chokephaibulkit, Naib Presiden FBT; Encik Thamchai Chokephaibulkit; Pengarah Jualan dan Pemasaran Antarabangsa dan Encik Monchai Chokephaibulkit, Pengarah Urusan FBT. Dato’ Lokman Hakim Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan menandatangani perjanjian itu bagi pihak MASOC manakala FBT pula diwakili oleh Presidennya, Encik Kamol Chokephaibulkit.

Sebagai penaja Platinum, sumbangan FBT bernilai lebih dari RM7.5 juta dalam bentuk pakaian dan alatan sukan untuk penganjuran KL2017 yang akan digunakan oleh semua yang terlibat di setiap peringkat termasuklah pakaian untuk lebih daripada 20,000 sukarelawan dan kakitangan semasa temasya sukan itu nanti.

“Ini adalah sumbangan terbesar FBT untuk Sukan SEA setakat ini dan saya berasa amat kagum dengan segala persediaan yang sedang dijalankan oleh Kuala Lumpur, terutamanya selepas temasya sukan ini berjaya dianjurkan dengan cekapnya di Singapura. Di pihak kami, FBT akan memastikan semuanya berjalan dengan lancar untuk kejayaan sukan ini,” kata Pengarah Urusan FBT, Encik Monchai Chokephaibulkit.

FBT terlibat di dalam Sukan SEA sejak tahun 1983 lagi untuk Sukan SEA ke-12 di Singapura, bermula dengan sokongan sebagai penaja kepada kontinjen Thailand serta negara-negara lain yang bertanding kepada penajaan kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan ini. Berdasarkan pengalaman unik melebihi 30 tahun penglibatannya dalam semua aspek persediaan sehingga ke pelaksanaan pertandingan, FBT sememangnya berada di dalam kelasnya yang tersendiri dari segi memahami keperluan dan kehendak penganjur acara berprestij ini.

Dalam ucapannya, YB Brig. Jen. Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan memuji pihak FBT kerana tampil ke hadapan untuk sama-sama menyertai keluarga KL2017 terutamanya dalam mengeratkan semangat ASEAN di antara negara-negara yang mengambil bahagian.

“Waktu Kuala Lumpur 2017 mula dirancang, saya menegaskan bahawa semangat ASEAN perlu menjadi sebahagian penting temasya sukan ini. Selepas mengisytiharkan diri kita sebagai komuniti ASEAN yang bersepadu dan bersatu pada tahun lepas, saya berazam bahawa sukan pertama yang diadakan selepas titik penting ini perlu menjadikan bukan sahaja rakyat Malaysia sebagai sasaran, malah berjaya memenuhi imaginasi kesemua penduduk ASEAN”, kata YB Brig. Jen. Khairy.

“Kami berhasrat untuk mewujudkan pengalaman temasya sukan bertaraf dunia yang boleh diraikan oleh semua. Kami mahu satu temasya sukan yang menjelmakan semangat komuniti ASEAN, dengan tumpuan kepada rakyat dan dianjurkan dengan "Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti".

Beliau juga menegaskan bahawa penajaan daripada syarikat Thailand seperti FBT merupakan satu langkah yang tepat, sejajar dengan temasya sukan ini iaitu Bangkit Bersama, yang diharapkan mampu menjadi aspirasi, mendorong dan membangkit pertalian emosi di kalangan semua peserta dan penonton.

YB Brig. Jen. Khairy turut mengucapkan tahniah di atas keputusan FBT untuk sama-sama melibatkan diri dalam sukan ini. Beliau juga percaya bahawa sebagai satu produk yang telah lama bertapak di pasaran antarabangsa, penajaan FBT untuk Kuala Lumpur 2017 pastinya mampu mengukuhkan kedudukan jenama mereka dengan lebih lagi.

“Ini semestinya merupakan satu peluang keemasan bagi syarikat ini untuk mempromosikan jenamanya kepada lebih 622 juta penduduk di rantau ini yang secara kolektifnya membentuk ekonomi ketiga terbesar di Asia dan yang ketujuh terbesar di dunia”, katanya lagi.

Encik Monchai Chokephaibulkit juga menzahirkan penghargaan beliau kepada MASOC atas peluang yang diberikan kepada FBT untuk menjadi sebahagian daripada temasya yang hebat ini.

“FBT akan memastikan bahawa setiap daripada mereka yang mengambil bahagian akan berasa bangga dengan pakaian yang dipakai mereka nanti. Ia bersesuaian dengan wajah temasya sukan ini yang terdiri daripada pelbagai warna mewakili kepelbagaian penduduk Malaysia. Kami akan lakukan yang terbaik untuk menyampaikan mesej ini melalui penampilan mereka yang terlibat di dalam temasya sukan ini”, katanya.

Sepanjang sejarah 65 tahun FBT, fokus utama syarikat ini adalah untuk memajukan lagi bidang sukan ini bukan hanya untuk satu negara, malah untuk seluruh rantau. FBT adalah satu jenama ASEAN yang sebenar melalui kehadirannya di kesemua 11 negara yang mengambil bahagian di Sukan SEA. Bagi FBT, temasya Sukan SEA merupakan acara utama dalam kalendar sukan.

Sukan Asia Tenggara ini akan diadakan pada 19hb hingga 31hb Ogos 2017 manakala Sukan Para ASEAN pula pada 17hb hingga 23hb September 2017. MASOC

Tiada ulasan:

Catat Ulasan