Khamis, 5 Januari 2017

KAFA KEKAL KEPUTUSAN KONGRES UNTUK TARIK DIRI


KOTA BHARU: Jawatankuasa EXCO Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dalam sidang media yang diadakan jam 2.30 petang hari ini memutuskan untuk mengekalkan keputusan Kongres Luar Biasa KAFA yang diadakan baru-baru ini supaya Kelantan menarik diri dari saingan Liga Super 2017.

Keputusan tersebut diambil setelah KAFA tidak menerima sebarang maklumbalas rasmi daripada pihak Kerajaan Negeri Kelantan setelah memberi peluang untuk Kerajaan Negeri mengemukakan perincian bantuan, termasuk mengambil alih pengurusan pasukan bolasepak, seperti yang dibincangkan ketika pertemuan bersama 2 Januari lalu.

Sebelum ini, KAFA telah meminta pihak Kerajaan Negeri Kelantan untuk memberi maklumbalas perincian bantuan serta kaedah pengambilalihan pasukan sebelum jam 10 pagi, Khamis 5 Januari 2017 memandangkan masa yang suntuk menguruskan hal-hal teknikal penyertaan pasukan yang perlu diselesaikan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 6 Januari 2017.

Jawatankuasa EXCO juga memaklumkan bahawa KAFA hanya mendapat berita tentang penolakan Kerajaan Negeri Kelantan terhadap empat permohonan yang dibuat, melalui laporan yang diterbitkan oleh pihak media semalam.

Empat permohonan tersebut ialah permohonan dana “one-off” sebanyak RM3 juta untuk awal musim, permohonan dana sebanyak 50% daripada bajet pengurusan musim 2017, pengurangan kadar levi dan penghapusan cukai hiburan.

Dalam masa yang sama, KAFA masih terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Kelantan jika pihak Kerajaan Negeri berhajat mengambil alih pengurusan pasukan untuk musim 2018.

Bersesuaian dengan keputusan Kongres juga, KAFA akan terus berusaha mendapatkan dana sehingga tarikh akhir 6 Januari 2017 supaya penyertaan pasukan bolasepak Kelantan ke Liga Super 2017 dapat direalisasikan.

Jawatankuasa EXCO KAFA akan bertemu dengan mantan Presiden KAFA, YB Tan Sri Annuar Musa untuk mendapatkan pandangan beliau dan memohon bantuan bagi membolehkan Kelantan meneruskan hasrat untuk beraksi di musim 2017, sekaligus mengelakkan kekecewaan para penyokong sukan bolasepak Kelantan, yang merupakan sukan nombor 1 di negeri ini.

SUMBER: KAFA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan