Isnin, 9 Januari 2017

KELANTAN NEGERI PERTAMA LAKSANAKAN DAGANGAN KARBON KREDIT



KOTA BHARU: Negeri Kelantan hari ini menjadi peneraju dalam dagangan Karbon Kredit serta yang pertama di Malaysia menjalankan program jalinan kerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB ) dalam usaha mengurangkan kadar pelepasan karbon akibat aktiviti pembalakan yang tidak terkawal di negeri-negeri membangun.

Satu majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) dengan syarikat tempatan, Climate Protector Sdn Bhd telah dimeterai di Hotel Perdana pagi tadi. Matlamat jangka panjang projek ini adalah untuk mengurangkan pengeluaran karbon daripada aktiviti pembalakan serta meningkatkan stok simpanan karbon hutan simpan serta dapat menyumbang kepada pembangunan lestari.

Inisiatif Kerajaan Negeri Kelantan dalam program ini adalah untuk memelihara hutan dan alam sekitar akibat aktiviti pembalakan.
Program dagangan korban kredit adalah yang pertama di Malaysia dan Kerajaan Negeri Kelantan merupakan satu-satunya yang melakukan program ini.

Projek REDD ini akan mengambil masa 12 hingga 24 bulan untuk melakukan analisa saintifik, penilaian dan laporan verifikasi oleh para saintis bertauliah untuk mengenal pasti stok karbon di kawasan hutan yang telah dikenal pasti oleh Kerajaan Negeri. Jumlah kawasan terbabit adalah 396,000 hektar dengan anggaran kawasan hutan meliputi 1 juta ekar.

Melalui projek ini, dalam tempoh 30 tahun tidak akan ada sebarang aktiviti  pembalakan atau perlombongan dalam kawasan yang telah ditetapkan. Ia akan dipantau dengan ketat supaya tidak akan ada pembalakan haram bagi memastikan agar hasrat Kerajaan Negeri tercapai. Bagi rakyat Kelantan, projek ini akan mencetuskan kesedaran terhadap aktiviti konservasi dan menjana pekerjaan buat rakyat tempatan.


YAB Ustaz Dato' Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan mewakili Kerajaan Negeri Kelantan manakala syarikat Climate Protector diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Mr. Tan Too Siah dalam pada itu telah menandatangani perjanjian projek tersebut pagi tadi. Turut hadir Timbalan Menteri Besar Kelantan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Exco-Exco, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri dan Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri..SMNET News

Tiada ulasan:

Catat Ulasan