Ahad, 1 Januari 2017

MANGSA BANJIR DI KELANTAN MENINGKAT KEPADA 1,872 ORANG


KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,872 orang daripada 524 keluarga setakat 9 malam ini berbanding 1,067 orang daripada 258 keluarga 6 petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Zainuddin Hussin berkata, kesemua mangsa yang dipindahkan itu ditempatkan di 17 pusat pemindahan mangsa banjir di daerah Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli.

"Kini (sehingga 9 malam) terdapat 654 mangsa di 10 pusat pemindahan di Kuala Krai, 1,046 orang di lima pusat pemindahan di Jeli dan 172 orang di dua pusat pemindahan di Tanah Merah," katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Beliau menjangkakan jumlah itu kemungkinan meningkat lagi sehingga tengah malam ini kerana operasi memindahkan mangsa banjir di tiga daerah itu masih berjalan.

Zainuddin berkata, dua pusat pemindahan yang baharu dibuka di Kuala Krai iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sok dan SK Banggol Guchil.

Beliau berkata anggota APM bersama agensi lain akan terus bekerjasama memastikan operasi memindahkan mangsa banjir berjalan lancar.

Katanya, setakat ini hanya sebatang jalan utama menghubungkan Kuala Krai dan Kota Bharu di Sungai Durian, Kuala Krai ditutup kepada kenderaan ringan berikutan air yang naik setinggi kira-kira 0.5 meter.

Sementara itu empat batang sungai utama di Kelantan terus menunjukkan peningkatan paras air sehingga 9 malam ini, menurut laman sesawang kerajaan negeri.

Sungai Galas di Dabong meningkat kepada 36.63 meter berbanding 36.27 meter petang tadi. Paras bahaya bagi sungai berkenaan adalah 38 meter.

Sungai Lebir di Tualang pula berada di paras 32.57 meter berbanding 31.77 meter petang tadi (paras amaran 35 meter) dan Sungai Kelantan di Tangga Krai pada paras 24.84 meter berbanding 24.02 meter petang tadi (paras amaran 25 meter).

Sungai Golok di Rantau Panjang turut meningkat kepada 7.72 meter berbanding 7.49 meter petang tadi (paras amaran 9 meter).

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan