Rabu, 15 Mac 2017

PAKAI TOPENG DAN JAUHI LOKASI WABAK H5N1


KOTA BHARU: Pakai topeng dan jauhi lokasi wabak paling kurang 10 kilometer kawasan pantauan dari lokasi wabak bagi mengelak virus H5N1 mencari perumah baru.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr Kamarudin Md Isa berkata, sehingga pagi ini, sebanyak 15,957 unggas dilupuskan dalam usaha pelbagai jenis sudah dimusnahkan di Kota Bharu dan Pasir Mas.

“Mereka yang mahu keluar dan masuk ke kampung wabak bermula dari Kampung Pulau Tebu, Tunjong melibatkan enam kawasan dijangkiti di Kota Bharu dan tiga lagi di Pasir Mas perlu mengambil langkah waspada.

“Orang kampung tidak digalakkan keluar masuk ke kampung wabak influenza H5N1, jika kita masuk ke situ, perlu pakai topeng khas N95 elak risiko,” katanya kepada pemberita, di pejabat JPV negeri, di sini, hari ini.

Antaranya jenis unggas yang dilupuskan termasuk ayam kampung, itik, burung puyuh, ayam serama, angsa dan burung ketitir.

Dr Kamarudin berkata, wabak tersebut boleh membawa bahaya dan mengesyorkan seboleh-bolehnya orang ramai tidak perlu masuk ke kampung terlibat.

“Kakitangan JPV negeri menjalankan usaha pelupusan dengan membuat penyemburan pada waktu malam kerana masa tersebut lebih sesuai untuk melupuskan populasi.

“Kita mendapat kerjasama yang baik daripada penternak, bagaimanapun kita masih berbincang dengan pihak berkuasa untuk melakukan sekatan statik bagi mengelak ternakan di kawasan terjejas dibawa keluar,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, pihaknya turut menasihatkan supaya aktiviti berkaitan unggas termasuk pertandingan suara burung candik dan laga ayam dihentikan pada masa ini.

“Kita masih menyiasat punca penyakit dan aktiviti laga ayam ini dikhuatiri punca ayam dijangkiti H5N1, mungkin ada kaitan dengan aktiviti laga ayam di sempadan.

“Kes ini kita lihat hampir serupa dengan kes 2004 (juga pernah berlaku di Kelantan) dan usaha mengenal pasti punca agak sukar, namun ia sudah tentu bawaan dari luar Malaysia, malah kita masih menjalankan perincian lebih lanjut mengenainya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan