Kelab Penyokong Kelantan Mahu Nwakaemi
KOTA BHARU – Kelab Penyokong Siber Bola
Sepak Kelantan Darul Naim (kelate.net) menyifatkan pemain kelahiran
Nigeria, Dickson Nwakaemi layak untuk mewakili pasukan Red Warriors.
Bagi
mereka, Nwakaemi mempunyai ciri-ciri penggempur yang diperlukan oleh
The Red Warriors bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini.
Kelate.net berharap penyerang kelahiran Lagos itu dapat dibawa masuk pada sesi pendaftaran pemain baharu yang bermula semalam.
Presiden
kelab itu, Mohd. Khairi Yazid berkata, berdasarkan persembahan pemain
berkenaan dalam tiga aksi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)
baharu-baharu ini, Nwakaemi seolah-olah sudah serasi dengan Kelantan.
“Itu
hanyalah pandangan kami dari sudut penyokong. Namun, keputusan untuk
memilih sama ada mahu mengekalkan pemain sedia ada atau membawa masuk
tenaga baharu terletak di tangan ketua jurulatih, Bojan Hodak.
“Kami
menyokong penuh sebarang keputusan yang dibuat oleh Hodak kerana dia
lebih mengenal dengan lebih dekat keupayaan pemain tersebut.
“Namun,
apa yang kami harapkan ialah, agar Hodak dapat membuat keputusan tepat
dalam pemilihan pemain bagi memastikan Kelantan terus memberikan cabaran
dalam saingan musim ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.