KASMA DANIEL MUNCUL JUARA CP150 DI PASIR PUTEH SENTRAL
PASIR PUTEH SENTRAL: Kepantasan Kasma Daniel Kasmayudin sukar dihalang apabila berjaya meraih kemenangan ketiga berturut-turut yang juga merupakan kemenangan kelima peribadi musim 2017 selepas menjuarai perlumbaan CP150 pada Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017 yang berakhir di Pasir Puteh, Kelantan, hari ini.
Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu dengan mudah menamatkan 20 pusingan perlumbaan dan melintasi garisan penamat secara bersendirian dengan masa keseluruhan 17’52.165s mengatasi rakan sepasukan, Ahmad Fazli Sham yang menamatkan perlumbaan dengan masa 17’54.113s.
“Saya tidak begitu yakin dan tidak menjangkakan kemenangan mudah pada perlumbaan hari ini. Prestasi dan catatan masa saya tidak begitu baik pada sesi-sesi lain,” jelas Kasma yang memulakan perlumbaan di belakang Mohd Izzat Zaidi Salehan (Motul Zeneos Yamaha YY Pang).
Tambah Kasma, “Saya juga bermula agak perlahan dan ketinggalan di belakang beberapa pelumba lain. Perssaingan pada awal perlumbaan agak sengit sehinggalah saya dapat mendahului kedudukan namun saya masih berhati-hati kerana permukaan litar yang semakin licin.
Dengan Kasma selesa di hadapan, perebutan lebih terarah kepada perebutan tempat kedua dan ketiga yang menjadi milik Fazli dan Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ) setelah seorang lagi pelumba, Ramdan yang berada di kedudukan kedua terjatuh ketika perlumbaan berbaki beberapa pusingan sahaja lagi.
Kasma terus selesa mendahului kedudukan keseluruhan setelah mengumpul 125 mata daripada tujuh pusingan yang telah berlangsung setakat ini manakala Afif kekal di tangga kedua dengan 99 mata diikuti Fazli ketiga dengan 64 mata.
Sementara itu, Md Akid Aziz (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) mengetepikan cabaran rakan sepasukan, Md Haziq Md Fairues untuk meraih kemenangan keempat pada musim ini sekalibus terus mengukuhkan kedudukan pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 130 mata.
Akid menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa 13’46.688s diikuti Haziq dengan masa 13’46.894s. Md Fareez Afeez (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) meraih podium pertama pada musim ini setelah menamatkan saingan di tempat ketiga dengan masa 13’47.727s.
Haziq berada di tangga kedua keseluruhan dengan 96 mata diikuti Ahmad Syukran Aizat (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ) ketiga dengan 78 mata.
Dalam saingan Wira, Saiful Azhary Muhamad (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) kembali ke pentas podium sebagai juara setelah kali terakhir muncul juara pada pusingan pertama di Temerloh dengan masa keseluruhan 11’12.261s.
Saiful menewaskan rakan sepasukan, Md Syarifuddin Azman yang menamatkan perlumbaan dengan masa 11’12.399s manaka pendahulu keseluruhan, Md Aiman Tahiruddin (PETRONAS Sprinta Yamaha –Afb Tech) di tangga ketiga dengan masa 11’16.542s.
Aiman kekal di tangga teratas dengan 107 mata diikuti Md Syafieq Aiman (Elf Koyoko KC Racing) di kedudukan kedua dengan 94 mata diikuti Saiful ketiga, 93 mata.
Sumber Berita: malaysiancubprix.com