KEDAH, KELANTAN & MELAKA LULUS LESEN KELAB FAM UNTUK BERAKSI PADA LIGA SUPER 2018
Tiga kelab – PB Kedah, PB Kelantan dan PB Melaka United berjaya mendapatkan lesen kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membolehkan mereka beraksi pada saingan Liga Super 2018.
Permohonan mereka yang sebelum ini ditolak kerana gagal memenuhi kriteria ditetapkan akhirnya telah diluluskan oleh Badan Rayuan (AB) Pelesenan Kelab FAM pada mesyuarat yang diadakan Jumaat lalu (27 Oktober 2017) oleh ahli-ahli jawatankuasa badan bebas.
Bagaimanapun, lesen yang diberikan kepada tiga kelab ini hanya merupakan lesen FAM dan tidak membabitkan lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Namun, dua lagi kelab - Felda United FC dan PB Sarawak tidak diberi lesen selepas didapati masih gagal memenuhi salah satu daripada enam kriteria yang ditetapkan iaitu kewangan, meskipun telah diberikan tempoh lanjutan.
Untuk makluman semua, FAM sebelum ini menerusi kenyataan media pada 7 September 2017 mengumumkan bahawa sebanyak tujuh daripada 12 kelab yang beraksi pada Liga Super 2017 iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT), PB Pahang, PB Perak, PKNS FC, PB Pulau Pinang, PB Selangor dan T-Team FC telah berjaya lulus dalam permohonan mendapatkan lesen FAM.
Malah daripada tujuh pasukan yang telah mendapat lesen dari First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM sebelum ini, empat daripadanya iaitu JDT, PB Pahang, PKNS FC dan PB Selangor turut lulus dalam permohonan mendapatkan lesen kelab AFC bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Juara-Juara Asia 2018 atau Piala AFC 2018, jika layak.
Kelulusan berkenaan diputuskan pada mesyuarat FIB yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif pada 24 Ogos 2017.
Bagi membolehkan sesebuah pasukan itu diberikan lesen kelab, mereka perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017.
Dengan ini, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada kelab-kelab yang telah menunjukkan kesungguhan dalam memastikan mereka akhirnya dapat juga memenuhi kriteria yang ditetapkan meskipun permohonan awal mereka sebelum ini ditolak.
Untuk makluman, Lesen FAM & AFC yang dikeluarkan ini adalah sah untuk tempoh satu musim sahaja iaitu bagi musim 2018 dan sepanjang musim berkenaan, jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017 atau mempunyai kes berkaitan dengan FIFA dan AFC, lesen kelab mereka boleh ditarik balik.
DATO' HAJI HAMIDIN HAJI MOHD AMIN
SETIAUSAHA AGUNG FAM
KHAMIS, 2 NOVEMBER 2017
Sumber & Grafik Football Association of Malaysia