KKM BERSEDIA HADAPI PENULARAN COVID-19
SUNGAI BULOH, 12 Mac 2020 - KKM telah bersedia dan sudahpun memulakan pelan kontigensi untuk menghadapi sebarang kemungkinan jika penularan kes jangkitan COVID-19 menjadi semakin besar dan tidak terkawal di negara ini, kata YB Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham bin Baba.
Ketika ini, terdapat 12 hospital di seluruh negara yang diberi peranan untuk merawat jangkitan ini selain penyediaan makmal bagi tujuan mengesan kes positif. Di samping itu juga, terdapat 57 buah hospital lain yang menyediakan kemudahan kepada orang ramai bagi membuat saringan.
Dr Adham menjelaskan bahawa Hospital Sungai Buloh mempunyai jumlah katil, wad dan kakitangan yang mencukupi untuk mengendalikan kes jangkitan COVID-19.
Hospital Sungai Buloh boleh menampung 772 pesakit dalam satu masa termasuk 104 katil di Unit Rawatan Rapi. Malah, Institut Latihan KKM (ILKKM) yang mempunyai 234 katil dan terletak bersebelahan dengan hospital tersebut juga akan digunakan jika keadaan memerlukan.
Sebelum itu, satu taklimat telah disampaikan oleh YBrs. Dr Kuldip Kaur, Pengarah Hospital Sungai Buloh kepada Menteri Kesihatan.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan I, YB Dato’ Dr Hj Noor Azmi B Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan), Datuk Dr. Rohaizat Yon dan pegawai-pegawai perubatan dari Hospital Sungai Buloh.
Sumber : KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
#covid19 #kkm