20 NEGARA DIJANGKA SERTAI RFC 2018 DI KELANTAN


SERAMAI 300 peserta dari lebih 20 negara dijangka menyertai perlumbaan pacuan empat roda (4x4) International Rainforest Challenge (RFC) Grand Final 2018 bermula hujung bulan ini.
Program paling sukar di dunia yang memasuki edisi ke-23 mendapat sokongan kerajaan negeri diadakan bermula 24 November hingga 5 Disember ini adalah julung kali dianjurkan di negeri ini.

Koordinator Acara dan Media RFC Atan Aris berkata, acara yang berlangsung selama 10 hari itu adalah kesinambungan dan penamat kepada acara RFC Global Series yang diadakan di lebih 22 negara termasuk Rusia, China, Mongolia, dan Georgia.
Katanya, kira-kira 40 kenderaan dari pelbagai negara termasuk Russia, China, Republik Czech, Australia dan Malaysia menyertai RFC ini.
“Peserta akan menjelajah hutan sejauh kira-kira 350 kilometer melalui Sakor, Tanah Merah dan dijangka berakhir di Pos Gob, Gua Musang pada 5 Disember nanti.

“Peserta yang terdiri daripada pemenang RFC Global Series di setiap lokasi akan berdepan cabaran bentuk muka bumi seperti cerun, hutan yang tebal, anak sungai yang deras.
“Lebih menarik, peserta turut diuji dengan musim tengkujuh yang dijangka melanda negeri ini tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, sejak RFC dianjurkan pada 1997, acara tahunan yang diasaskan di negara ini menjadi tumpuan peminat sukan kenderaan 4x4 dari seluruh dunia kerana menjanjikan kelainan, drama dan situasi di luar jangkaan setiap tahun.
“Malah, sebuah majalah di luar negara turut mengiktiraf program ini antara 10 acara paling mencabar yang dianjurkan di dunia,” katanya.
Katanya, program RFC Grand Final 2018 akan bermula dengan acara prolog di Pantai Geting, Tumpat bermula pada 24 November ini.
“Dalam acara ini, akan berlaku perhimpunan terbesar membabitkan sebanyak 500 kenderaan dari gabungan kelab 4x4 Kelantan dan Malaysia yang banyak memberi sokongan kepada RFC.
“Pelbagai acara menarik turut diadakan termasuk acara kebudayaan, jualan barang cenderahati dan sebagainya. Oleh itu, kita menjemput orang ramai untuk hadir bersama-sama memeriahkan acara ini,” katanya.

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)