APLIKASI KELANTANPAY DIBANGUNKAN


KOTA BHARU 15 Nov : Kerajaan Kelantan sedang membangunkan aplikasi KelantanPay sebagai sistem pembayaran bagi memudahkan pembayaran zakat, wakaf, hasil pihak berkuasa tempatan (PBT), bil utiliti, takaful dan pinjaman pelajaran.

Pengurus Besar Kelantan ICT Gateway, Mohd Roslan Mohd Zain berkata, ia merupakan sistem khidmat pembayaran pelbagai saluran bagi orang awam.

Menurutnya, orang ramai boleh menggunakan KelantanPay sebagai platform baharu bagi sistem pembayaran secara bersepadu.

“Pembayaran boleh dibuat melalui Internet di laman sesawang KelantanPay, aplikasi Android atau iOS.

“Bukan itu sahaja, program ini turut memperkenalkan modul SMSParkir dan system Sipadu tanpa dikenakan sebarang kos pendahuluan,” katanya, selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama antara Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd, Kelantan Utilities Mubaarakan Sdn Bhd dan Zen Trillion Sdn Bhd di Bilik Gerakan, Kota Darul Naim, baru-baru ini.

Majlis itu disaksikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah.

Turut hadir anggota-anggota Exco, Dato’ Fadzli Hassan, Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail, Dato’ Azami Mohd Nor dan Dr Izani Husin.

Mohd Roslan berkata, aplikasi ini akan memudahkan pembayaran secara elektronik kepada pihak yang terlibat.

Malah katanya, kaedah ini dijangka akan meningkatkan kadar kutipan hasil kerajaan negeri.

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)