JABATAN PERTANIAN LANCAR GARIS PANDUAN KHAS TANAMAN DURIAN KAWASAN BERCERUN


RELAU: Majlis pelancaran hari ini adalah bertujuan menyokong industri tanaman durian dan kerajaan sentiasa berusaha untuk melestarikan alam sekitar berikutan ladang durian yang sedia ada mahupun yang baharu diteroka terletak di kawasan bercerun curam iaitu melebihi 25° dan seperti yang sedia maklum, kawasan yang bercerun lebih 25° adalah lebih berisiko tinggi untuk berlakunya hakisan tanah.

Pada hari ini, tanah yang rata dan kawasan tanah rendah semakin berkurangan. Oleh itu pembangunan pertanian kini sedang tertumpu di kawasan bercerun curam di tanah rendah dan tanah tinggi. Hakisan tanah adalah satu fenomena alam dan merupakan 'never ending story' di mana-mana negara. Hakisan tanah melibatkan proses pemecahan, pemindahan dan pemendakan tanah oleh ejen hakisan iaitu air dan angin. Di Malaysia, air hujan merupakan ejen hakisan utama berbanding angin.

Menyedari hakikat ini, Jabatan Pertanian mengambil langkah proaktif dengan melancarkan Garis Panduan Khas Pembangunan Tanaman Durian di Tanah Bercerun dalam menangani masalah hakisan dan pada yang sama, dapat memelihara ekosistem ke arah pertanian yang mampan.



Kita tidak mahu pertanian dilabelkan sebagai perosak kepada alam sekitar dan punca bencana apabila berlakunya pemendakan sungai, sungai dan tasik menjadi cetek, empangan tadahan air dipenuhi lumpur, banjir kilat dan tanah runtuh.

Tanah merupakan salah satu sumber asli kita yang amat bernilai. Kita akan kehilangan anugerah keindahan alam semula jadi ini sekiranya ianya tidak dipelihara dan tidak dapat dinikmati oleh generasi selepas kita. Oleh yang demikian, di dalam garis panduan ini diterangkan syarat-syarat dan amalan pemuliharaan tanah yang perlu dipatuhi sebelum dan semasa pembukaan sesuatu kawasan baharu atau kawasan yang telah bertanam untuk tanaman durian. Kebenaran merancang kawasan berkecerunan melebihi 25° perlu diperolehi daripada Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) bagi pertanian tanaman durian secara komersial dan bukan bertujuan sara diri. Pembukaan kawasan baharu perlu dibuat secara manual dan berperingkat bagi mengurangkan risiko hakisan tanah. Amalan pengurusan pemuliharaan tanah seperti sistem perparitan, kawalan hakisan dan kelodak yang sesuai serta menanam tanaman penutup bumi perlu dilakukan secepat mungkin sebaik sahaja kawasan dibuka.

Sehubungan itu, di harapkan semua kementerian, jabatan dan agensi lain yang terlibat termasuk pihak-pihak berkuasa tempatan dan pejabat-pejabat tanah dapat memanfaatkan garis panduan ini dengan menjadikannya terikat secara perundangan atau legally binding dengan akta-akta yang berkenaan untuk memastikan pertanian dilaksanakan dengan penuh berhemah. Secara langsung memberi kesedaran dan pengetahuan kepada para pelaksana projek pertanian tanaman durian di Malaysia tentang kepentingan memulihara tanah.

#myDOA #OurFoodOurFuture #GerakKerjaTanamanDurian

YB Dato’ Salahuddin Ayub
YB Tuan Sim Tze Tzin 沈志勤
Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)