MANGSA BANJIR PERLU DISARING DAN PATUH SOP
Setiap mangsa banjir yang diarahkan untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) perlu disaring dan ditempatkan dalam suasana yang mematuhi aspek penjarakan fizikal.
Arahan itu merupakan antara prosedur operasi standard (SOP) pengurusan banjir yang ditetapkan kerajaan sebagai usaha mengelak penularan rantaian #COVID19 sewaktu banjir - Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
𝐏𝐏𝐒 𝐣𝐮𝐠𝐚 𝐩𝐞𝐫𝐥𝐮 𝐝𝐢𝐬𝐢𝐧𝐟𝐞𝐤𝐬𝐢 𝐭𝐞𝐫𝐥𝐞𝐛𝐢𝐡 𝐝𝐚𝐡𝐮𝐥𝐮 𝐬𝐞𝐛𝐞𝐥𝐮𝐦 𝐦𝐞𝐧𝐞𝐫𝐢𝐦𝐚 𝐦𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚 𝐛𝐚𝐧𝐣𝐢𝐫 𝐝𝐚𝐧 𝐩𝐫𝐨𝐬𝐞𝐬 𝐩𝐞𝐦𝐢𝐧𝐝𝐚𝐡𝐚𝐧 𝐦𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚 𝐦𝐞𝐬𝐭𝐢 𝐦𝐞𝐦𝐚𝐭𝐮𝐡𝐢 𝐆𝐚𝐫𝐢𝐬 𝐏𝐚𝐧𝐝𝐮𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐮𝐫𝐮𝐬𝐚𝐧 𝐏𝐏𝐒 𝐬𝐞𝐦𝐚𝐬𝐚 𝐂𝐎𝐕𝐈𝐃-𝟏𝟗 𝐝𝐚𝐧 𝐦𝐞𝐧𝐠𝐢𝐤𝐮𝐭 𝐧𝐚𝐬𝐢𝐡𝐚𝐭 𝐊𝐞𝐦𝐞𝐧𝐭𝐞𝐫𝐢𝐚𝐧 𝐊𝐞𝐬𝐢𝐡𝐚𝐭𝐚𝐧 (𝐊𝐊𝐌).
Mangsa banjir akan dibekalkan dengan pelitup muka dan dikehendaki memakainya pada setiap masa serta jawatankuasa PPS perlu menempatkan ahli keluarga dalam kubikel yang sama.
Bagi mangsa yang bergejala, mereka akan dirujuk ke klinik kesihatan dan kemudian diasingkan di ruang pengasingan khas yang disediakan.
Penyediaan makanan dan minuman pula adalah secara berbungkus sahaja dan tidak ada sebarang aktiviti memasak dibenarkan sepanjang PPS beroperasi. Malah, aktiviti berkumpulan yang menjejaskan penjarakan fizikal adalah tidak dibenarkan termasuk menziarah mangsa yang ditempatkan di PPS.
Selain itu, semua kawasan tertutup di PPS dibiarkan terbuka bagi membolehkan peredaran udara yang mencukupi untuk mengeluarkan partikel yang tercemar.
Semua mangsa banjir yang terlibat diseru agar sentiasa mematuhi SOP serta garis panduan yang telah ditetapkan bagi mengelak penularan wabak COVID-19 ketika musim banjir ini.
SUMBER: MAJLIS KESELAMATAN NEGARA