DUN KELANTAN - KESEJAHTERAAN RAKYAT TERAS BELANJAWAN 2022
KOTA BHARU, –“Kelantan Maju Rakyat Sejahtera” menjadi tema Belanjawan 2022 Negeri Kelantan dengan peruntukan RM1.51 bilion yang menjurus kepada enam teras utama termasuk kesejahteraan rakyat.
Demikian menurut Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob semasa membentangkan Belanjawan 2022 di persidangan DUN kali kedua yang berlangsung baru-baru ini.
“RM22 juta bagi bantuan prihatin, pengurusan operasi, projek-projek khas serta meningkatkan fasiliti kesihatan rakyat diperuntukkan dalam belanjawan ini,” katanya.
Terdahulu, Kerajaan Negeri membelanjakan RM122.8 juta untuk menangani kesan pandemik akibat wabak COVID-19 di Kelantan.
Justeru bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat dalam tempoh pandemik ini, peruntukan RM21.09 juta untuk memperkasakan sumber dan rantaian bekalan makanan seperti pertanian, penternakan dan lembu pawah turut dibentangkan dalam belanjawan berhemah tersebut.
“Bagi tahun 2022, kerajaan memperuntukkan RM11.2 juta untuk program kebersihan, menaik taraf kemudahan awam PBT, membina dan menaik taraf kemudahan pusat rekreasi dan pelancongan serta pusat pelupusan sampah. Ini adalah kenaikan sebanyak RM1.2 juta atau 12 peratus berbanding peruntukan pada tahun sebelumnya. Selain itu, RM3.5 juta pula diperuntukkan bagi tujuan pengindahan bandar, taman awam, tempat sukan dan rekreasi. Manakala RM2.5 juta diperuntukkan untuk kesihatan awam,” katanya.
Menurut YAB Dato' Ahmad Yakob, Kerajaan Negeri berharap agar Belanjawan 2022 ini, Negeri Kelantan akan lebih berkat, makmur dan berkebajikan demi kesejahteraan rakyat di dunia mahu pun di akhirat.
- SMNETNEWS