KALA SENTRAL TAMPILKAN GAYA BAHARU PEMASARAN PRODUK KELANTAN
KOTA BHARU, - Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) Ab Aziz Yunus berkata pembukaan pusat sehenti produk usahawan tempatan, KALA Sentral membuka jalan pemasaran gaya baharu kepada usahawan kecil dan sederhana (IKS) di Kelantan setelah hampir dua tahun terkesan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19.
KALA Sentral mula beroperasi secara hibrid; fizikal dan maya ini dibuka tujuh hari seminggu dari pukul 9 pagi sehingga 7 malam dan dijangka memberi pulangan berganda kepada usahawan tempatan. Sehingga kini, 200 usahawan berdaftar dengan unit usahawan PKINK berjaya mempamerkan 756 produk seperti kraftangan, emas, makanan tradisional Kelantan dan pakaian secara runcit dan borong.
"PKINK mensasarkan 1,000 usahawan yang bernaung di bawah agensi meningkatkan pendapatan mereka. Kita menetapkan kriteria seperti kualiti, pembungkusan dan sijil halal sebagai syarat utama untuk meletakkan produk di KALA Sentral. Usahawan tempatan yang berminat untuk menyertai KALA Sentral boleh menghubungi unit usahawan di talian 09-7414194 ”, katanya selepas membuat tinjauan pengoperasian KALA Sentral di Tingkat 1, Bangunan Baharu Bazar Tengku Anis, Dataran Muhammadi, hari ini.
Terdahulu, Belanjawan Kelantan 2022 memperuntukkan RM10.65 juta untuk usahawan Kelantan yang memberi manfaat kepada 700 usahawan mikro dan 2000 usahawan digital serta RM3.7 juta untuk program usahawan berdikari.