MPKB-BRI JUARAI DUA KATEGORI AKB 2021

 


KOTA BHARU – Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) menjuarai dua acara yang dipertandingkan; Bandar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Terbersih dan PBT Terbaik dengan membawa pulang wang tunai RM25,000 dan RM 15,000 berserta trofi anugerah dan sijil penghargaan dalam Anugerah Kelantanku Bersih (AKB) bagi tahun 2021.

AKB ialah acara tahunan di bawah program Kempen Kelantanku Bersih yang mengiktiraf agensi, individu dan premis-premis yang telah menyertai kempen Kelantanku Bersih.

Para pemenang anugerah dipilih melalui pertandingan Kelantanku Bersih yang diadakan sepanjang tahun 2021 kelolaan Bahagian Kerajaan Tempatan di bawah potfolio Pengerusi Jawatankuasa Tempatan, Perumahan dan Kesihatan 

Exconya, YB Dr Izani Husin berkata, Kempen Kelantanku Bersih adalah inisiatif bersepadu agensi kerajaan, pihak NGO dan masyarakat setempat dalam merealisasikan Negeri Kelantan yang bersih dan rakyat yang cakna terhadap kebersihan. 

“Untuk menjayakan Kempen Kelantanku Bersih ini, kerjasama daripada semua agensi sangat diperlukan agar dapat bersama bergerak dengan PBT dalam menentukan kejayaan Kempen Kelantanku Bersih. 

Komitmen jentera pentadbiran PBT memainkan peranan penting bertindak sebagai pengemudi kepada kempen ini, dan disarankan untuk mengamalkan Konsep turun padang  sama-sama melihat kemajuan aktiviti agar kebersihan menjadi satu budaya di negeri ini,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih tahun 2021 dan pelancaran zon bersih, indah dan ceria PBT Kelantan yang dirasmikan  Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Mohd Amar Abdullah. 

Sementara itu 17 kategori menerusi empat anugerah dipertandingkan; Anugerah Kelantanku Bersih (terbuka), Anugerah Kelantanku Bersih Institusi Pengajian, anugerah Kelantanku Bersih Institut Pengajian Tinggi, dan Anugerah Kelantanku Bersih Pihak Berkuasa Tempatan.

Dalam pada itu juga, majlis penyerahan peruntukan Kelantanku Bersih kepada 12 Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga disampaikan untuk membangunkan zon ceria dan pembelian tong sampah bagi setiap PBT selain tambahan pembelian jentera kebersihan juga diperuntukkan kepada MPKB-BRI berpurata RM1.3 juta.

- UPKN

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)