Projek Jendela Pulihkan Capaian Telekomunikasi Di Kelantan
KOTA BHARU, – Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan mendapat peruntukan lebih RM1 billion melalui program Jaringan Digital Negara (JENDELA) memfokus untuk menaik taraf 1232 menara telekomunikasi, pembinaan 85 menara telekomunikasi baharu dan meluaskan rangkaian gantian optik berkelajuan tinggi ke 5994 buah premis.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan, YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, YB Wan Hassan Wan Ibrahim tentang langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan berkaitan dengan masalah internet di sesetengah Kawasan dalam Negeri Kelantan yang sangat memerlukan perkhidmatan yang lebih cemerlang bagi norma baharu terutamanya pembelajaran PDPR.
"Pihak kerajaan juga telah menyediakan peruntukan hampir RM0.5 Juta melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi menyediakan peralatan teknologi pendidikan kepada semua sekolah YIK yang telah diagih secara berperingkat mulai 31 Mei 2021.
"Selain itu, semua sekolah YIK dipantau bagi memastikan para pelajar dapat mengikuti PdPR dengan menekankan kepada pengupayaan dan keselesaan pengguna peranti serta capaian liputan internet terutamanya kawasan pedalaman," ujarnya.