KENYATAAN AKHBAR MENTERI KANAN PERTAHANAN 16 SEPT 2020
KENYATAAN AKHBARM KANAN PERTAHANAN
MENGENAI PELAKSANAAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) HARI KE-182 DAN HARI KE-98 PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN PEMULIHAN (PKPP)
Task Force Operasi Pematuhan
Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 59,899 pemeriksaan semalam (15 September 2020) bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Sebanyak 3,123 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 12,873 anggota telah membuat pemantauan di 3,682 pasar raya, 4,949 restoran serta 1,203 penjaja, 1,345 kilang, 3,732 bank dan 928 pejabat kerajaan. Juga dipantau, sebanyak 1,094 terminal pengangkutan darat, 215 terminal pengangkutan air serta 107 terminal pengangkutan udara.
Semalam (15 September 2020), PDRM telah menahan 68 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP. Daripada jumlah itu, seramai 66 individu telah dikompaunm 2 individu direman. Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk ingkar perintah PKPD (21), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (18), tidak memakai pelitup muka (18), penjarakan fizikal (6), gagal melunaskan bil kuarantin (3), serta tangkapan pendatang asing tanpa izin (2).
Kawalan Sempadan Negara
Operasi BENTENG yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan agensi-agensi lain mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu dari dibolosi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain mengekang penularan wabak COVID-19.
Semalam (15 September 2020), Operasi Benteng telah berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 120 PATI, dan 2 tekong. Turut dirampas 3 kapal/bot dan 4 kenderaan darat.
Daripada jumlah itu, di Pengkalan Kubor, Kelantan, pihak PDRM berjaya menahan 9 PATI kerana memasuki Malaysia melalui laluan yang tidak sah.
Di Teluk Penawar, Bandar Penawar, Johor, pasukan ATM telah berjaya menahan 5 PATI kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
Sebanyak 79 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan PDRM (57 SJR), AKSEM (10 SJR), dan ATM (12 SJR). Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.
Kuarantin Wajib
Sejak 24 Julai sehingga 15 September 2020, seramai 29,438 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 72 Hotel dan 8 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan. Daripada jumlah itu, seramai 9,737 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 71 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 19,630 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.
Mereka telah pulang dari 32 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand & Amerika Syarikat.
Operasi Sanitasi Awam COVID-19
Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac 2020 telah melakukan 9,968 operasi sanitasi merangkumi 135 zon. Sebanyak 13,008 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2712 pusat perniagaan, 5,727 bangunan kerajaan, 1,599 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,616 tempat awam dan 354 pasar raya.
Semalam (15 September 2020), sebanyak 17 operasi sanitasi meliputi 11 zon Hijau dan 1 zon Kuning yang melibatkan 7 buah negeri antaranya Sarawak (4 operasi), Sabah (3operasi), Perlis (3 operasi), Negeri Sembilan (2 operasi), Pahang (2 operasi), Melaka (2 operasi), dan Kedah (1 operasi). Operasi sanitasi ini melibatkan 83 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 6 anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta 7 dari agensi-agensi lain. 8 jentera JBPM turut terlibat dalam operasi sanitasi.
Barang Keperluan Asas
Semalam (15 September 2020), Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 654 premis perniagaan termasuk peruncit (455), pemborong (169) dan pengilang (30). Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.
Pegawai penguatkuasa KPDNEHP juga telah melakukan 1,335 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,316 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 19 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.
Dalam tempoh PKPP ini, Kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian.
YB DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB
MENTERI KANAN PERTAHANAN
16 September 2020