PERKEMBANGAN NILAI Rt DALAM NEGARA DAN KEPERLUAN MENDESAK PEMATUHAN PROSEDUR AMALAN STANDARD (SOP)

 



Malaysia mula mencatatkan nilai Rt atau R naught (R0) penularan jangkitan COVID-19 yang tinggi pada 7 September 2020 (nilai Rt 1.72). Berikutan situasi peningkatan kes COVID-19 di negeri Sabah dan negeri Kedah, nilai Rt di kedua-dua negeri ini telah memberi kesan besar terhadap nilai Rt bagi negara. 

Situasi penularan COVID-19 di dalam negara dikhuatiri akan terus meningkat secara mendadak dan eksponensial sekiranya langkah kawalan tidak dijalankan secara agresif.

Susulan itu, pelbagai tindakan kawalan dan pencegahan kesihatan awam telah dipergiatkan. Kerajaan telah memperketatkan syarat kemasukan dari negara-negara berisiko tinggi di Pintu Masuk Antarabangsa dan pihak penguatkuasa telah mempertingkatkan kawalan sempadan dengan menyekat kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di laluan-laluan tikus terutamanya di Negeri Sabah. Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di beberapa kawasan juga telah turut membantu kawalan. 

Tindakan pantas pengesanan kontak rapat kes-kes positif, perluasan saringan bersasar terhadap golongan berisiko tinggi, pelaksanaan kuarantin, dan pemberian rawatan awal kepada kes yang bergejala telah berjaya menurunkan nilai Rt sehingga kurang dari 1.0.

Walau bagaimanapun, nilai Rt dilihat tidak stabil dan kembali meningkat. 

Pada 23 September 2020 ianya telah meningkat kembali kepada 1.34 iaitu melebihi 1.0 (nilai Rt di Sabah adalah 1.37 dan Kedah 1.15 (Rujuk Lampiran 2). Oleh yang demikian, lebih banyak usaha perlu dilakukan Bersama bagi memutuskan penularan jangkitan COVID-19 di dalam komuniti. Sekiranya tiada urusan di luar rumah, masyarakat dinasihatkan supaya kekal berada di rumah. 

Di negeri Sabah, pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah membangunkan SOP bagi aktiviti berkempen dan mengundi. KKM merayu kepada semua untuk patuh kepada SOP tanpa mengira status dan kedudukan dalam masyarakat. Bantulah Negara dalam mengawal penularan COVID-19 ini.

Walaupun kebanyakan kawasan di negara kini sudah bertukar menjadi zon hijau, namun KKM ingin mengingatkan bahawa kes COVID-19 masih berada di dalam komuniti kita. Pembahagian warna zon hijau, kuning, dan merah adalah berdasarkan bilangan kes setempat dalam masa 14 hari kebelakang. 

Sehingga 24 September 2020, terdapat lima (5) kawasan di Malaysia yang sudah bertukar menjadi zon merah. Terdapat empat (4) zon merah di Sabah dan satu (1) zon merah di Kedah iaitu (Rujuk Lampiran 3):

a. Sabah:

• Tawau;

• Lahad Datu;

• Kunak; dan

• Semporna.

b. Kedah:

• Kota Setar.


KKM ingin menasihatkan, individu bergejala yang baru mengunjungi atau datang dari zon merah wajib melakukan ujian saringan COVID-19 di fasiliti kesihatan berhampiran. Individu tidak bergejala yang baru mengunjungi atau datang dari zon merah juga amat digalakkan untuk melakukan ujian saringan dan kuarantin kendiri bagi melindungi ahli keluarga, rakan-rakan serta masyarakat di sekitarnya.

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)