KUFC Sah Lengkapkan Penswastaan Kelab Bola Sepak.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada siaran media mereka malam tadi mengesahkan Kelantan United Football Club (KUFC) berjaya melengkapkan penswastaan kelab bola sepak (FC) yang turut merangkumi proses pemisahan dari persatuan bola sepak (FA) ke FC.
Ini bermakna, pihak pengurusan tertinggi serta pegawai KUFC yang bertanggungjawab telah menyelesaikan semua dokumen yang diperlukan bagi melengkapkan proses penswastaan FC ini sebelum tarikh akhir pada 30 September depan.
Selain KUFC, Johor Darul Ta'zim, Sarawak United FC, Petaling Jaya City FC, Armed Forces FC, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu FC, Kuching FA, Sabah, Kuala Lumpur dan Perak juga telah berjaya melengkapkan penswastaan kelab masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata pihaknya mengucapkan tahniah kepada semua pasukan atas kesungguhan dan kerja keras mereka untuk mengikuti setiap arahan dan mendapat kelulusan tersebut.
Dalam perkembangan sama, Mohd Firdaus turut mengumumkan beberapa pasukan lagi masih dalam proses melengkapkan penswastaan mereka menjelang tarikh akhir kurang seminggu dari sekarang.
Beliau menegaskan tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 September 2020 tidak boleh dianjakkan lagi dan perlu diberi perhatian serta tindakan segera jika mahu menyertai pertandingan kelab di peringkat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) jika layak, serta juga pertandingan domestik iaitu CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2021.
-Unit Media (Official) KUFC-