MOBILISASI PASUKAN BANTUAN KESIHATAN DAN PERUBATAN KE NEGERI SABAH
Untuk makluman, KKM telah menggerakkan pasukan bantuan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna, dan Kunak, Sabah bagi membantu menangani penularan COVID-19 di sana. Mobilisasi pasukan bantuan secara dalam negeri di Sabah telah dilakukan sejak awal peningkatan bilangan kes COVID-19 di sana lagi. Selain itu, KKM juga telah dan sedang terus menggerakkan pasukan bantuan secara berperingkat dari Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Semenanjung Malaysia bermula 23 September 2020.
Berikut adalah pecahan mengikut kawasan dan skim perkhidmatan pasukan bantuan perubatan dan kesihatan awam yang telah digerakkan setakat 29 September 2020:
Pasukan bantuan akan membantu melakukan pengesanan kontak, saringan komuniti di lapangan, menjaga pusat kuarantin dan hospital. Selain itu, seramai 10 orang Pegawai Sains Mikrobiologi dan lima (5) orang Juruteknologi Makmal (JTM) telah dihantar ke Hospital Tawau, Hospital Lahad Datu, Hospital Queen Elizabeth, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas dan Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu bagi membantu proses saringan COVID-19 di makmal.
KKM juga telah mula mengarahkan seramai 72 Jururawat Terlatih (JT) untuk bertugas di Hospital Kunak, Hospital Queen Elizabeth, Hospital Tenom, Hospital Beluran, Hospital Keningau, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, dan Hospital Kota Belud.
Mulai Oktober 2020, sejumlah 140 Pegawai Perubatan dan 225 orang Penolong Pegawai Perubatan (PPP) akan ditempatkan di Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengikut kekosongan dan keperluan perkhidmatan semasa, termasuk di klinik, hospital dan Pejabat Kesihatan Kawasan seluruh Sabah. Penilaian keperluan sumber manusia akan terus dilakukan secara berterusan bagi membantu mengawal situasi penularan jangkitan COVID-19 di negeri Sabah, di samping memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan di sana. Pada masa yang sama, kebajikan petugas kesihatan dan perubatan juga perlu diutamakan bagi memastikan mereka selaku aset utama KKM, dapat menjalankan tugasan mereka dengan baik. Ini termasuk aspek logistik, latihan, keperluan Personal Protective Equipment (PPE) yang bersesuaian dengan tugasan.