STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA, 23 SEPT 2020



Sehingga 23 September 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 147 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,505 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 770 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada 147 kes baharu yang dilaporkan, empat (4) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga (3) warganegara dan satu (1) bukan warganegara dari negara:

  • India: Tiga (3) kes dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang melibatkan warganegara;
  • Indonesia: Satu (1) kes dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang melibatkan bukan warganegara.

Daripada 143 kes penularan di dalam negara, 115 kes adalah warganegara Malaysia dan 28 kes adalah bukan warganegara. Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara adalah seperti berikut:

  • Sabah: 134 kes
    • 105 kes daripada Kluster Benteng LD yang melibatkan 90 warganegara dan 15 bukan warganegara;
    • Lapan (8) kes daripada Kluster Laut yang melibatkan kesemua bukan warganegara;
    • Lapan (8) kes daripada Kluster Bangau-Bangau yang melibatkan enam (6) warganegara dan dua (2) bukan warganegara;
    • Lima (5) kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) yang melibatkan empat (4) warganegara dan satu (1) bukan warganegara;
    • Tiga (3) kes saringan petugas kesihatan di Hospital Semporna yang melibatkan warganegara. Mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau;
    • Dua (2) kes daripada Kluster Pulau yang melibatkan warganegara;
    • Dua (2) kes daripada Kluster Udin, iaitu kluster baharu di Tawau, yang melibatkan bukan warganegara; dan
    • Satu (1) kes saringan tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna yang melibatkan warganegara.
  • Kedah: Lima (5) kes
    • Empat (4) kes daripada Kluster Sungai yang melibatkan semua warganegara; dan
    • Satu (1) kes saringan komuniti yang melibatkan warganegara.
  • Selangor: Dua (2) kes
    • Satu (1) kes saringan masuk kerja yang melibatkan warganegara. Beliau mempunyai sejarah balik dari Semporna, Sabah; dan
    • Satu (1) kes saringan kontak rapat kepadakes ke- 10286. Beliau mempunyai sejarah balik dari Semporna,Sabah.
  • Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: Satu (1) kes saringan pulang dari kawasan berisiko (Sabah) yang melibatkan warganegara.
  • Kelantan: Satu (1) kes saringan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dari Sabah yang melibatkan warganegara.

Sehingga kini, terdapat lapan (8) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana dua (2) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan tiga (3) kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 133 kes (1.27 peratus daripada jumlah keseluruhan kes):

  1. Kes kematian ke-131 (iaitu kes ke-10495) merupakan perempuan warganegara Indonesia berumur 48 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Kes mula mengalami gejala lemah badan, muntah, batuk dan demam pada 14 September 2020. Kes telah dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Tawau, Sabah pada 18 September 2020 dalam keadaan separa sedar. Keadaan kes didapati merosot dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 19 September 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada hari yang sama jam pada 10.20 malam. Saringan COVID-19 didapati positif pada 22 September 2020.
  2. Kes kematian ke-132 (iaitu kes ke-10493) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 54 tahun. Kes telah mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Semporna, Sabah pada 18 September 2020 bagi gejala demam, batuk dan sukar bernafas. Saringan COVID-19 telah dijalankan. Keadaan kes didapati semakin merosot dan kemudian dirujuk ke Hospital Tawau pada 20 September 2020 di mana kes dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Kes disahkan meninggal dunia pada 22 September 2020 pada jam 6.55 petang.  Pada 22 September 2020, saringan COVID-19 didapati positif.
  3. Kes kematian ke-133 (iaitu kes ke-9224) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 72 tahun dengan latar belakang penyakit strok. Kes telah dikesan sebagai kontak rapat kepada kes ke-9124 (kes kematian ke-127) yang merupakan kes positif dalam Kluster Tawar. Kes tidak bergejala, dikesan positif COVID-19 pada 19 Ogos 2020 dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Keadaan kes didapati merosot dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Kes disahkan meninggal dunia pada 23 September 2020 pada jam 3.40 pagi.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka.

SUMBER: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)