KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan pada hari ini bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 1,405 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 40,493 kes (75.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA
Sehingga 21 November 2020, sebanyak 1,041 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 53,679 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 12,854 kes. Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua (2) kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 1,039 kes adalah merupakan penularan COVID-19 dalam negara.
Tiga (3) negeri yang mencatatkan kes tertinggi pada hari ini adalah Selangor iaitu sebanyak 402 kes (38.6 peratus), diikuti Sabah 346 kes (33.2 peratus) dan Negeri Sembilan 121 kes (11.6 peratus). Pelaporan kes positif COVID-19 yang tinggi di Selangor berpunca daripada pertambahan kes bagi Kluster Teratai iaitu sebanyak 298 kes (74.1 peratus). Negeri Sabah pula mencatatkan jumlah kes yang tinggi pada hari ini disebabkan oleh pelbagai saringan COVID-19 yang giat dijalankan di sana manakala Negeri Sembilan disebabkan oleh pertambahan kes dalam kluster-kluster sedia ada.
Sebanyak 21 kes (2.0 peratus) yang dilaporkan pada hari ini pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (17 kes), Kluster Tembok (3 kes) dan Kluster Penjara Seberang Perai (1 kes).
Perincian penuh jumlah kes mengikut negeri adalah seperti di Lampiran 1 dan 2.
Sehingga kini, terdapat 108 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 45 kes memerlukan bantuan pernafasan.