KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN, 23 NOVEMBER 2020

 


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan pada hari ini bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 883 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah  42,480 kes (75.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).  

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Pada hari ini, 23 November 2020, negara telah merekodkan kes tertinggi harian sepanjang pandemik ini iaitu sebanyak 1,884 kes baharu.Inimenjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 56,659 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 13,842 kes. Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua (2) kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 1,882 kes adalah merupakan penularan COVID-19 dalam negara.

Tiga (3) negeri yang mencatatkan kes tertinggi pada hari ini adalah Selangor iaitu sebanyak 1,203 kes (63.9 peratus), diikuti oleh Sabah yang melaporkan sebanyak 289 kes (15.3 peratus) dan seterusnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 196 kes (10.4 peratus). Pelaporan kes positif COVID-19 yang tinggi di Lembah Klang berpunca daripada pertambahan kes bagi kluster-kluster terutamanya kluster berkaitan tempat kerja iaitu Kluster Teratai dengan pertambahan sebanyak 1,067 kes (76.2 peratus) dan Kluster Damanlela sebanyak 101 kes (7.2 peratus). Negeri Sabah pula masih melaporkan jumlah kes yang agak tinggi walaupun telah berkurang berbanding kebelakangan ini iaitu sebanyak 289 kes. Dari jumlah tersebut, 164 kes (56.7 peratus) adalah hasil saringan kontak rapat.

Sebanyak 33 kes (1.8 peratus) yang dilaporkan pada hari ini pula adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS), lokap dan penjara yang membabitkan Kluster Bakti (12 kes), Kluster GK Tawau (9 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (7 kes), Kluster Penjara Sandakan (3 kes), Kluster PTS Tawau (1 kes) dan Kluster Tembok (1 kes).

Perincian penuh jumlah kes mengikut negeri adalah seperti di Lampiran 1 dan 2.

Sehingga kini, terdapat 115 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 48 kes memerlukan bantuan pernafasan.

SUMBER: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Popular Posts

Hakcipta Terpelihara © 2021 Serambi Media Network (SMNET NEWS)