Agong, Permaisuri Zahir Ucapan Takziah Kepada Seluruh Keluarga Lans Koperal Mohamad Azrin
KUALA LUMPUR, - KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa, Anggota Tentera Darat 10 Briged (Para), yang telah kembali ke Rahmatullah semasa menjalani latihan di Bera, Pahang.
Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara.
Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan mencemar duli berangkat meninjau dan menyertai operasi mencari dan menyelamat di Kampung Bohor Baru, Bera, Pahang semalam.
Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa menyantuni keluarga mangsa dan mengurniakan sumbangan peribadi bagi mengurangkan beban mereka.
Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin seorang anggota Tinjau dari Pasukan Kompeni PANDURA (Para), didapati lemas ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang bagi Eksesais Para Predator Siri 1/2021 pada 29 Ogos lalu.
Eksesais Para Predator merupakan salah satu eksesais yang dilaksanakan Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui 10 Briged (PARA) yang berpengkalan di Kem Terendak, Melaka dalam tempoh 14 hari melibatkan seramai 1,894 anggota tentera dengan 151 aset logistik Tentera Darat Malaysia.