Bangunan tertinggi di Kelantan dibina di Kubang Kerian
KOTA BHARU: Selepas berjaya membina bangunan tertinggi di Kelantan, Troika Residence, Kumpulan Malvest menerusi Kelmedic Sdn Bhd kini sedang giat membangun sebuah lagi kediaman 39 tingkat di Kubang Kerian.
Jurucakap Kumpulan Malvest, Pui Lee Yin berkata, kediaman servis lengkap dinamakan Arika terletak di Jalan Tok Kenali berhampiran dengan Hospital Universiti Sains Malaysia.
Katanya, Arika mempunyai 39 tingkat bakal menjadi salah satu bangunan tertinggi di Kelantan apabila siap kelak.
“Lokasinya terletak di Kubang Kerian, menampilkan dua tingkat runcit komersil serta kemudahan gaya hidup seperti sukan, perpustakaan, gym dan trek joging,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan 4,000 pek pelitup muka kepada Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di pejabat News Strait Times Press (NSTP) di sini semalam.
Kumpulan Malvest melalui Kelmedic Sdn Bhd, syarikat usahasama dengan Yayasan Kelantan Darulnaim dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sebelum ini membangunkan Troika Kota Bharu setinggi 37 tingkat di Jalan Mahmood.
Pui Lee Yin juga berkata di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya menyumbang RM100,000 kepada kerajaan negeri untuk diagihkan kepada golongan terjejas dengan Covid-19.
Selain itu sebanyak 30,000 pelitup muka turut diserahkan kepada Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan al Muhammadi untuk diedar kepada pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 dan golongan B40 di Kelantan.
“Atas inisiatif Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan al-Muhammadi, 350 pek makanan turut disumbangkan untuk diedarkan kepada asnaf dan golongan B40 yang dikenal pasti di bawah Program Bakul Makanan.
“Sebagai tanda penghargaan kepada barisan hadapan sumbangan tambahan sebanyak 30,000 pelitup diserah kepada badan-badan Kerajaan dan petugas barisan hadapan,” ujarnya.