KKM terima sumbangan peralatan kesihatan RM9.48 juta
PUTRAJAYA, - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada hari Jumaat lepas menerima sumbangan peralatan kesihatan berjumlah RM9.48 juta daripada lima syarikat korporat.
Kumpulan Axiata Sdn Bhd menyumbang RM5 juta bagi pembelian peralatan perubatan dan kelengkapan kesihatan, manakala Yayasan Bursa Malaysia menyumbangkan 310 unit alat penjana oksigen bernilai RM1.99 juta dan 99 Speedmart pula menyumbang 142 unit alat penjana oksigen, katil pesakit serta pelbagai barangan lain berjumlah RM1.88 juta.
Sementara itu, Sime Darby Plantation menyumbangkan 5,000 unit pulse oximeter dengan nilai sumbangan RM375,000 dan Wang Zheng Berhad dengan sumbangan antaranya 600 karton lampin dewasa bernilai RM224,640.
Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin menerima sumbangan berkenaan yang diserahkan oleh wakil syarikat masing-masing dalam Majlis Sumbangan Korporat Keluarga Malaysia di KKM, di sini pada hari Jumaat lepas.
Khairy dalam ucapan ringkasnya berkata, nilai keseluruhan sumbangan bukan tunai yang diterima KKM sejak Januari 2020 mencecah RM148 juta dengan hampir 70 peratus peralatan diterima adalah peralatan perlindungan diri (PPE).
“Ketika negara bersedia beralih ke fasa endemik, diharapkan selain PPE, kami akan terima lebih sumbangan bagi pulse oximeter dan kit ujian kendiri Covid-19 kerana walaupun harga siling (kit) ialah RM19.90, ia masih membebankan keluarga B40,” katanya.
Turut hadir dalam majlis penyerahan ini adalah Dato' Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato' Seri Dr Noor Hisham bin Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan,
Dato' Dr. Mohd Mokhtar Bin Tahar, Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan, Dato' Dr. Asmayani binti Khalib, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Hishamshah Bin Mohd Ibrahim Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan Dan Sokongan Teknikal), pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan Malaysia dan wakil daripada syarikat yang menyumbang.